PRK Tanjung Piai: 27 pusat mengundi dibuka tepat jam 8 pagi ini

Calon PH, Karmaine Sardini tiba di tempat membuang undi di Sekolah Kebangsaan Telok Kerang pada jam 7.45 pagi dengan ditemani adiknya, Safeei Sardini yang juga merupakan wakil calon.

PONTIAN: Sebanyak 27 pusat mengundi membabitkan 125 saluran dibuka untuk pengundian pilihan raya kecil (PRK) kerusi Parlimen Tanjung Piai, bermula 8 pagi.

Proses pengundian akan berakhir pada jam 5.30 petang.

Seramai 52,471 pengundi layak untuk menunaikan hak mereka – memilih wakil rakyat baru hari ini susulan kematian bekas penyandangnya Dr Md Farid Md Rafik, yang mewakili Pakatan Harapan (PH) pada 21 Sept lepas.

Pilihan raya kecil ini menyaksikan pertandingan enam penjuru antara calon PH, Karmaine Sardini, Wee Jeck Seng (Barisan Nasional), Wendy Subramaniam (Gerakan), Badhrulhisham Abdul Aziz (Berjasa) dan dua calon Bebas iaitu Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

PRK Tanjung Piai merupakan pilihan raya kesembilan sejak pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Pada Selasa lepas, 91% daripada 280 pengundi awal terdiri daripada anggota dan pegawai polis melaksanakan tanggungjawab atas kapasiti sebagai pengundi awal.

Daripada kesemua pusat mengundi yang dibuka, sebanyak 11 adalah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pekan Nanas manakala 16 lagi di DUN Kukup.

Calon BN Wee Jeck Seng menunjukkan jarinya yang bertanda dakwat selepas membuang undi di SJK Cina Yu Ming 1&2 di Pekan Nanas pagi ini.

PRK Tanjung Piai ini juga adalah pilihan raya kecil pertama di Johor sejak PH mentadbir negeri itu.

Karmaine tiba di tempat membuang undi di Sekolah Kebangsaan Telok Kerang pada jam 7.45 pagi dengan ditemani adik beliau, Safeei Sardini yang juga merupakan wakil calon.

Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan hujan lebat hari ini.

Keputusan rasmi dijangka diumumkan sekitar jam 10 malam nanti.