PRK Tg Piai: SPR jangka 70% keluar mengundi, keputusan 10 malam

Pengundi bagi PRK Tanjung Piai menunggu giliran untuk membuang undi di sebuah pusat pembuangan undi pagi ini.

PONTIAN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan 70 peratus pemilih keluar mengundi dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai hari ini dengan keputusan rasmi pengundian dijangka diketahui selewat-lewatnya pada 10 malam.

SPR menugaskan seramai 1,019 orang petugas untuk membantu melancarkan proses pengundian kali ini, manakala polis pula menempatkan 1,341 pegawai dan anggotanya untuk menjaga keselamatan dan kawalan lalu lintas.

Pusat penjumlahan undi rasmi yang ditetapkan bagi PRK Tanjung Piai adalah di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini.

Sebanyak 27 pusat mengundi membabitkan 125 saluran dibuka dari 8 pagi hingga 5.30 petang ini bagi membolehkan pengundi memilih wakil rakyat baru bagi kawasan Parlimen itu.

Seramai 52,471 pengundi akan menunaikan hak mereka untuk memilih wakil rakyat baru hari ini, selepas kematian penyandangnya Dr Md Farid Md Rafik yang mewakil Pakatan Harapan (PH) pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung.

PRK Tanjung Piai menyaksikan pertembungan antara calon Pakatan Harapan (PH) Karmaine Sardini, calon Barisan Nasional (BN) daripada MCA Wee Jeck Seng, calon Gerakan Wendy Subramaniam dan Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) Badhrulhisham Abdul Aziz, serta dua calon Bebas, Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

PRK berkenaan merupakan pilihan raya kesembilan sejak pilihan raya umum ke-14 (PRU14) pada Mei tahun lepas.

Daripada keseluruhan pusat mengundi yang dibuka, sebanyak 11 adalah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pekan Nanas iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Kudus, SK Tanjong Ayer Hitam, SK Parit Haji Adnan, SK Melayu Raya, SK Kampong Sawah, SK Seri Bunian, SK Pengkalan Raja, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Mohd Yunos Sulaiman, SMK Pekan Nanas, SK Pekan Nanas dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yung Ming 1 dan 2.

Sebanyak 16 lagi adalah di DUN Kukup merangkumi SK Jeram Batu, SJKC Bin Chong, SJKC Cheow Min, SK Rimba Terjun, SK Sungai Bunyi, SK Rambah, SK Parit Rambai, SK Belokok, SK Telok Kerang, SK Penerok, SK Sungai Boh dan SJKC Pei Chao, SMK Sri Kukup, SK Sungai Durian, SK Serkat dan SK Andek Mori.

Calon PH Karmaine mengundi di SK Telok Kerang dan Wee di SJKC Yu Ming 1 & 2, manakala empat lagi calon lain bukan merupakan pengundi Parlimen Tanjung Piai.

Selasa lepas, 91 peratus daripada 280 pengundi awal terdiri daripada anggota dan pegawai polis melaksanakan tanggungjawab masing-masing di Bangunan Perkep, Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian.

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan hari ini mendung dengan suhu antara 23 dan 27 darjah Celcius pada sebelah pagi, manakala ribut petir pada sebelah petang dengan suhu antara 25 dan 28 darjah Celcius.