Rasai pengalaman minum kopi di Starbucks terbesar di dunia!

Jika anda penggemar minuman kopi, anda pasti sanggup mengembara ke mana sahaja untuk merasai sendiri keunikan kopi itu disamping pemandangan yang indah.

Dan salah satu jenama kopi yang terkenal di seluruh dunia ialah Starbucks.

Menariknya di Tokyo terdapat cawangan Starbucks terbesar di dunia iaitu Starbucks Reserve Roastory.

Ia mempunyai empat tingkat dengan keluasan 32,000 kaki persegi hasil rekaan arkitek Kengo Kuma yang sebelum ini terlibat dalam rekabentuk Stadium Olimpik Tokyo.

Istimewanya di sini, anda boleh menikmati hidangan kopi sambil melihat pokok sakura yang bersebelahan dengan Sungai Meguro.

“Pada musim sakura, pengunjung boleh menikmati sakura dari bangunan Starbucks yang berdindingkan cermin sambil menikmati kopi yang kebanyakannya khas untuk pasaran Jepun sahaja,” menurut seorang rakyat Malaysia yang menetap di Jepun, Zunita Ramli dalam laman sosial Facebooknya.

Di bangunan 17 meter tinggi dengan atap yang berbentuk origami ini, ia menyediakan lebih 100 menu hidangan dengan 60 menu khas untuk pasaran Jepun sahaja.

Lebih 680,000kg kopi dipanggang di sini untuk pasaran Jepun di mana ia diedarkan ke lebih 1,400 cawangan Starbucks di seluruh Jepun.

Setiap tingkat di bangunan ini direka khas dengan tema yang berbeza, di tingkat satu terdapat bakeri dan kafe, tingkat dua mempunyai Teavana iaitu ruang menikmati teh, tingkat tiga ruang “Arriviamo Cocktail Bar” dan kawasan rehat manakala “working space” pula berada di tingkat empat.

Di bahagian luar juga terdapat tempat rehat untuk menikmati kopi sambil melihat pemandangan terutama sekali pada musim sakura.

Apa yang anda boleh lakukan di Starbucks Reserve Roastory Tokyo ini?

1. Lawat Starbucks paling besar di dunia

Binaan luar bangunan ini direka arkitek terkenal Stadium Tokyo, Kengo Kuma, manakala binaan dalaman direka oleh pasukan rekabentuk Starbucks sendiri.

Kesemua rekaan dalaman sehingga sudut pencahayaan serta perabot dibuat sendiri di Jepun iaitu di bandar Tendo, Yamagata.

2. Beli kopi segar

Di tingkat satu terdapat mesin pemanggang kopi setinggi 17 meter. Anda boleh dapatkan kopi “fresh from roaster” di sini.

3. Beli cenderahati

Di tingkat satu juga terdapat barangan Starbucks yang dijual. Kebanyakan koleksi adalah istimewa untuk cawangan ini sahaja. Jadi jangan lepaskan peluang untuk dapatkan cenderahati anda sebaik sahaja sampai di sini!

4. Nikmati kopi dengan pemandangan sakura

Kopi “fresh” dengan pemandangan sakura, bukankah itu pengalaman yang menarik bagi diri anda?

Tetapi awas! Pada musim sakura mungkin anda perlu menunggu berjam-jam untuk menikmati kopi dan pemandangan sakura yang cantik.

Walaupun penat menunggu tapi hasilnya berbaloi, anda hanya perlu bersabar sahaja.

5. Ambil gambar

Bagi penggemar Instagram, Starbucks Reserve Roastery Tokyo ini mungkin menjadi tempat kegemaran anda.

Banyak “spot” menarik untuk diambil gambar. Tetapi jika anda bukan pengguna Instagram, anda pasti tidak mahu terlepas daripada mengabadikan pengalaman di sini.

Jadi jangan lepaskan peluang untuk bergambar!

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]