Sri Lanka: Pilihan raya pilih presiden hari ini

Hampir 16 juta rakyat Sri Lanka dijangka keluar mengundi bagi memilih presiden baru negara itu hari ini. (Gambar Twitter)

COLOMBO: Proses pengundian pilihan raya Sri Lanka bermula 7 pagi (0130GMT) pada Sabtu, menyaksikan hampir 16 juta pengundi dijangka keluar mengundi untuk memilih presiden baru negara itu.

Seramai 35 calon akan bersaing, jumlah tertinggi pernah dicatatkan dalam sejarah pilihan raya presiden, lapor agensi berita Anadolu.

Meskipun terdapat banyak calon yang bertanding, namun persaingan paling ketara adalah di antara dua calon veteran, iaitu ahli politik berusia 70 tahun, Gotabaya Rajapaksa dari parti Sri Lanka Podujana Peramuna (SLPP) dan Sajith Premadasa calon daripada United National Party (UNP) parti yang berkuasa selama 52 tahun.

Pilihan raya diadakan beberapa bulan selepas serangan Hari Easter yang meragut sekurang-kurangnya 259 nyawa, memberi tamparan hebat terhadap pemerintahan Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe.

Kedua-dua kem calon utama itu masing-masing yakin berupaya memenangi pilihan raya itu.

Milinda Rajapaksha, pemimpin muda yang mewakili SLPP yakin 100 peratus Rajapaksa bakal melakar kejayaan kali ini.

Sementara itu, Premadasa mendapat sokongan beberapa parti minoriti utama seperti Perikatan Nasional Tamil (TNA), Kongres Muslim Sri Lanka dan All Ceylon Makkal Congress (ACMC).

Seorang pemimpin belia dari UNP Rasika Jayakody berkata, Premadasa berada di landasan yang tepat untuk menjadi presiden.

Beliau turut mengakui pilihan raya kali ini paling sengit.

Pada pilihan raya presiden 2015, pengundi di wilayah utara dan timur memainkan peranan besar memberikan kemenangan kepada Maithripala Sirisena, presiden yang akan menamatkan penggal pemerintahannya.

Pengundian akan berakhir 5 petang (1130GMT), dengan keputusan akhir dijangka diumum Ahad.