Subahan, Shamala kekal terajui MHC selepas menang tanpa tanding

Subahan Kamal (dua dari kanan) bersama dua timbalannya, S Shamala (dua dari kiri) dan Jadadish Chandra Bipin Chandra (kanan) mengadakan sidang media selepas memenangi tiga jawatan tertinggi MHC hari ini. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Subahan Kamal dan S Shamala mempertahankan jawatan presiden serta timbalan presiden (wanita) Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) bagi penggal 2019-2023 setelah menang tanpa bertanding pada mesyuarat agung tahunan MHC ke-66 di Seri Kembangan, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Etika MHC, T Thavalingam membuat pengumuman itu selepas proses pemilihan berakhir, sekali gus menyaksikan Subahan dan Shamala terus diberi mandat memegang dua jawatan tertinggi berkenaan setelah dipilih buat julung kali pada penggal 2015/2018.

Pengerusi Jawatankuasa Perundangan MHC, Jadadish Chandra Bipin Chandra pula dipilih sebagai timbalan presiden (lelaki) MHC, setelah pencabarnya yang juga Presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA), Megat D Shahriman Zaharudin menarik diri pada saat akhir.

Untuk rekod, Subahan sah menang tanpa bertanding pada 6 November lalu selepas mendapat 13 pencalonan, manakala pencabarnya yang juga Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia Bhd, Kamarudin Meranun sekadar mendapat dua pencalonan, sekali gus tidak layak bertanding jawatan itu yang memerlukan calon mendapat minimum tiga pencalonan.

Shamala pula menang tanpa bertanding setelah pencabarnya, K Maheswari menarik diri.

Tujuh individu lain dipilih sebagai naib presiden KHM, setelah mendapat undi tertinggi daripada 16 perwakilan MHC yang layak mengundi pada proses pemilihan kali ini.

Mereka adalah Rogayah Mohamad yang mendapat 24 undi, manakala tiga calon lain – Anil Jeet Singh, Ahmad Najmi Abdul Razak dan Mary Sadiah Zainuddin masing-masing meraih 22 undi.

Tiga individu lain turut dipilih menjadi naib presiden MHC, iaitu Hasnizam Hassan yang memperoleh 17 undi, Ranjit Singh Gurdial Singh (13 undi) dan Shurizan Mansor (12 undi).

Subahan dan Shamala sebelum ini dilaporkan tidak akan mempertahankan jawatan masing-masing, sekiranya skuad hoki lelaki negara gagal layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Mereka bagaimanapun membuat pusingan U, walaupun skuad negara kalah agregat 3-9 kepada Great Britain pada dua aksi kelayakan Sukan Olimpik 2020 di London baru-baru ini, sekali gus mengundang kritikan beberapa pihak, termasuk beberapa bekas pemimpin MHC kerana tidak mengotakan janji.

Subahan gembira kerana proses pemilihan ahli Jawatankuasa Eksekutif baru berjalan lancar dan berharap semua exco terpilih dapat menjalankan tanggungjawab masing-masing.

Beliau turut mendedahkan pelantikan exco untuk beberapa portfolio MHC yang akan diputuskan dalam dua minggu lagi.

“Saya amat gembira kerana kebanyakan yang dipilih adalah wakil dari negeri masing-masing, terutamanya naib presiden dan ini bagus kerana kita melihat bahawa kita perlukan orang yang banyak melibatkan diri di peringkat akar umbi untuk duduk dalam Jawatankuasa (Eksekutif MHC) dan berjalan seiring kepimpinan (tertinggi) MHC,” katanya dalam sidang media.

Ahli Jawatankuasa Eksekutif MHC penggal 2019-2023:

Presiden: Subahan Kamal

Timbalan Presiden:

S Shamala (wanita)
Jadadish Chandra Bipin Chandra (lelaki)

Naib Presiden:

Rogayah Mohamad dan Mary Sadiah Zainuddin (wanita), Anil Jeet Singh, Ahmad Najmi Abdul Razak, Hasnizam Hassan, Ranjit Singh Gurdial Singh serta Shurizan Mansor (lelaki).