Tak lucut jawatan Azmin walaupun gagal hadir mesyuarat MPP, kata Anwar

Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

PETALING JAYA: Anwar Ibrahim berkata, PKR tidak akan melucutkan jawatan Azmin Ali walaupun timbalannya gagal menghadiri mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti tiga kali berturut-turut.

Presiden PKR itu berkata, perlembagaan parti menyatakan ahli MPP boleh dilucutkan jawatan jika tidak menghadiri mesyuarat tiga kali berturut-turut, tetapi beliau meminta ia menangguhkan hukuman terhadap pemimpin terbabit.

“Kita ambil pendekatan sederhana dan berlembut untuk beri ruang kepada kawan-kawan kita memikirkan, sebab itu kita tidak menggunakan peruntukan itu (dalam perlembagaan parti) setakat ini,” katanya selepas berucap pada Konvensyen PKR Kedah dan Perlis di Kulim hari ini.

Ditanya sampai bila hukuman itu akan ditangguhkan, Anwar berkata, terpulang kepada MPP dan beliau sedia mendengar pandangan mereka.

Bukan kerja presiden halalkan kelompok tertentu

Anwar berkata, beliau tidak akan mengadakan mesyuarat dengan kumpulan yang mahu menghalalkan “geng” sendiri.

Katanya, kumpulan tertentu dalam PKR boleh mengadakan mesyuarat melibatkan pimpinan tertentu, tetapi ia tidak akan diiktiraf dan tidak menggambarkan pendirian parti.

“Kalau mesyuarat parti sudah tetapkan, mesyuarat Biro Politik, mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat atau mesyuarat-mesyuarat khas, tidak ada umpamanya mesyuarat kelompok Saifuddin Nasution Ismail atau kelompok kartel, itu saya tak iktiraf.

“Kamu nak mesyuarat, boleh mesyuarat nak buat sendiri, saya tak halang.

“Saya tidak akan panggil mesyuarat kelompok-kelompok, saya panggil mesyuarat parti, nak jumpa sila, nak jumpa menghalalkan kelompok kumpulan itu bukan kerja presiden, kena tungggu pilih presiden lain, kalau berani.”

Anwar turut menolak dakwaan beliau tidak mahu berjumpa individu tertentu kerana sering mengadakan janji temu tetap dan menemui orang ramai di pejabatnya di Parlimen dan Jalan Gasing.

“Ada yang kata heboh, Anwar tak sanggup nak jumpa, tak betul itu, apatah lagi mereka ialah menteri atau timbalan menteri. Saya tidak pernah menolak mesyuarat sedemikian.”

Semalam, Anwar mengkritik Azmin susulan kontroversi berhubung Kongres Nasional Pemuda PKR pada 6 Disember nanti.

Ia selepas Azmin mendakwa ada tangan ghaib mendorong Ketua Pemuda PKR, Akmal Nasir membatalkan jemputan untuk beliau merasmikan kongres sayap itu. Kini, ia akan dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Ia seterusnya menyebabkan PKR Sarawak membatalkan konvensyen negeri di Miri pada 23 November ini dan menggesa pimpinan parti menyelesaikan isu siapa yang patut merasmikan Kongres Nasional Pemuda PKR itu segera.

Tetapi, pimpinan tertinggi PKR menolak keputusan PKR Sarawak dengan ahli MPP, Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan berkata, konvensyen itu akan diteruskan susulan satu mesyuarat dengan pemimpin negeri semalam.

Hari ini, Anwar berkata, tiada pemimpin PKR Sarawak yang mengeluarkan kenyataan berhubung pembatalan konvensyen negeri itu semalam, membangkitkan sebarang bantahan dalam mesyuarat parti minggu lalu.

Katanya, konvensyen negeri akan diteruskan kerana majoriti ketua cawangan di Sarawak mahu ia diteruskan.

Sementara itu, Anwar berkata, beliau sudah mengarahkan Saifuddin menyenaraikan pemimpin yang tidak menghadiri kongres parti.

“Saya sudah minta setiausaha agung senaraikan ketua cabang (cawangan), menteri dan exco yang hadir serta tidak hadir kerana semua ini mewakili parti kita.

“Mudah-mudahan semua hadir kerana ini akan memberi kekuatan membawa balik semangat kerjasama dan muafakat.”

Ada pihak mahu lihat PKR lemah

Anwar berkata, ada pihak termasuk dari dalam PKR sendiri yang mahu melihat parti itu lemah.

“Saya harap tumpu perhatian, kongres ini (Kongres Nasional PKR Disember ini) sangat penting, mereka tunggu nak nampak kita lemah, bukan saja orang luar, (tetapi) juga orang dalam. Bila nampak lemah, kekuatan Anwar tergugat, Anwar tidak layak jadi pemimpin.

“Kalau kekuatan saya tergugat, yang lain pun terpelanting, kena ingat yang penting saya tidak merasakan apa-apa gugatan, satu dua beza pendapat walaupun saya fikir dia tidak ikut etika yang betul dalam parti, dalam mesyuarat setuju.”

Rafizi tak aktif politik kerana kecewa

Anwar berkata, keputusan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli tidak mahu kembali aktif dalam arena politik kerana beliau kecewa dan mengharapkan perkara positif berlaku selepas tampuk pemerintahan negara bertukar.

“Dia (Rafizi) sudah umum lama, dia banyak membantu dan saya faham, dia seperti Nurul Izzah kerana merasakan kekecewaan mereka kerana mengharapkan sesuatu yang lebih positif berlaku, kita beri masa kepada mereka.

“Kita kena bagi ruang sebab mereka tidak bagi keputusan gopoh, kena fikir, renung berbeza dengan yang lain berebut jawatan dan kekayaan.”

Ahli Parlimen Port Dickson itu bagaimanapun tidak menjelaskan kekecewaan Rafizi dan Izzah merujuk isu apa.

Semalam, Rafizi memaklumkan beliau tidak berhasrat kembali ke arena politik negara dalam masa terdekat, selepas dibebaskan dan dilepaskan daripada sabitan serta hukuman mengikut Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan (Bafia) oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Katanya, beliau kini lebih selesa meluangkan masa bersama keluarga dan mahu kembali menjadi rakyat biasa.