Tersepit dalam kesempitan

Menguruskan kemenangan dan sentimen dalam kalangan komponen sukar. Rasa benci kepad DAP semakin membuak dalam kalangan ahli PPBM umumnya. Ini resipi untuk perpecahan atau dendam. Tidak akan bertahan lama kerjasama ini jika dibiarkan berlarutan.

Pelantikan Presiden PKR Anwar Ibrahim juga tidak akan membantu meredakan malah akan meningkatkan lagi sentimen kebencian tersebut. PH tidak boleh tanpa PPBM dan PPBM tidak boleh tanpa PH.

Dilemanya adalah PPBM juga tidak boleh bersama Maufakat Nasional (MN) kerana akan dianaktirikan dan berisiko diambil alih oleh orang Umno yang lebih berpengalaman berbanding kebanyakan pemimpin akar umbi PPBM yang rata-rata merupakan aktivis atau individu yang tiada pengalaman berpolitik sebelum ini. Kalau hendak dibanding sumber kewangan, tiada harapanlah untuk mereka yang berjuang dari awal.

Kalau pun dipertimbangkan, MN terdiri dalam kalangan pemimpin Melayu yang sama yang mempertahankan serta terus mengangkat seorang yang dituduh kerana kleptokrat selaku penasihat. Ini tidak selari dengan prinsip PPBM sebagai sebuah parti bermaruah. Umno sebagai contoh, telah diberi peluang untuk menukar kepimpinan yang menyebabkan kekalahan paling teruk parti tersebut dalam sejarah. Namun jelas, sistem “warlord” dan perwakilan yang digunakan bekas parti keramat orang Melayu itu berjaya untuk terus memberi tempat atau talian hayat kepada golongan “Najib & Co”.

Justeru, apa opsyen ahli PPBM? Dalam kalangan ahli pun cakap-cakap untuk meninggalkan PH semakin kuat kedengaran. Mereka sudah tidak tahan dengan keputusan-keputusan berat sebelah yang tidak memihak kepada orang Melayu. Ada juga dalam kalangan mereka termakan dakyah dan persepsi kononnya Melayu semakin diancam atau kehilangan kuasa di buminya sendiri. Ini dapat dilihat dalam banyak isu.

Apabila ini berlaku, dicampur pula dengan persepsi kebencian kaum yang dimainkan pembangkang serta kegagalan jentera penerangan PH dan kerajaan untuk mengurus naratif isu berbangkit, maka ahli PPBM mulai hilang keyakinan terhadap PH.

Jangan tersilap, mereka cukup yakin dengan PPBM dan kepimpinan di dalamnya, namun, mereka agak skeptikal terhadap kepimpinan PH seluruhnya.

Ironinya, penyokong bukan Melayu PH pula merasakan mereka yang diancam. Banyak isu mereka rasakan seperti tidak memihak kepada mereka. Kesetiaan dan kerakyatan mereka dicabar dan dipersoal, nilai-nilai mereka diperlekeh dan mereka masih rasa seperti warganegara kelas kedua sepertimana semasa zaman Umno/BN.

Situasi ini seperti ditelan mati emak, diluah mati bapa. Buat apa pun ada segmen rakyat mengikut kaum-kaum tertentu tidak akan berpuas hati. Mungkin ada benarnya kata Dr Mahathir Mohamad bahawa resipinya biarlah semua rasa tidak puas hati. Sejauh mana formula ini berkesan siapa tahu?

Apa yang pasti, sentimen rakyat kepada PH, mengambil kira statistik dari agensi pelbagai seperti Merdeka Center dan Ideas Malaysia, jelas menunjukkan mereka tidak berpuas hati dengan prestasi PH dan ini mungkin diterjemahkan dalam bentuk undi protes kelak.

Mereka mungkin membenci Umno/BN, namun kebencian tersebut telah reda. Memang rakyat Malaysia terkenal sifatnya mudah memaafkan dan tidak kekal marah atau benci terlalu lama. Namun, mereka juga terkenal dengan sikap cepat mengecam serta mengadili mereka yang dirasakan mempunyai nilai moral yang lebih rendah dari mereka.

Ini berita tidak baik untuk para menteri PH kerana secara nalurinya, ahli politik (dan Kabinet lebih lagi) bukanlah sosok boleh dipercayai jauh sekali jika mereka digambarkan seperti seorang yang ‘bodoh’ atau ‘berlagak’.

Kebebasan memakan diri

Di samping itu juga, PH terjerat janjinya sendiri dalam memberi kebebasan kepada media. Ini membuka peluang kepada portal atau agensi berita yang dahulunya pro-Umno untuk meneruskan kempen propaganda mereka pada masa sama, agensi berita yang sedia ada bebas seperti MalaysiaKini atau FMT sebagai contoh, terusan menjadi alat semak dan imbang yang baik sejak dari dahulu. Apa yang tinggal untuk kerajaan PH adalah Bernama. Ya, agensi berita yang berkualiti namun sejauh mana mampu mengubah persepsi atau menentukan naratif pemikiran rakyat?

Bukan itu sahaja, sudahlah media arus perdana tidak lagi boleh dimanfaatkan untuk tujuan propaganda atau sekurang-kurangnya menyampaikan inisiatif baik dari kerajaan atau menjawab tuduhan, perang media sosial juga PH semakin ketinggalan.

Ini mungkin akibat ramai dalam kalangan mereka yang menjadi pemacu jentera media sosial PH sebelum ini sudahpun mengisi tempat-tempat tertentu dalam agensi dan mempunyai tanggungjawab berbeza. Ini menyebabkan usaha mengekalkan momentum media sosial yang dimenangi PH suatu ketika dahulu dengan penuh jaya, mati dan terhenti. Ini bertambah teruk lagi apabila jentera penerangan parti-parti tidak boleh mengharap pemberian dari menteri atau Kabinet untuk memberi sumbangan hasil projek seperti yang dilakukan kerajaan Umno/BN sebelumnya.

Benar, jawatan-jawatan dalam GLC atai GLiC ada lantikan politik. Tapi jika dibandingkan dengan era Umno/BN, jumlah ini terlampau sedikit. Usaha mendapatkan projek bagi mengkayakan kroni atau parti pun telah dilemahkan atau dalam kes-kes tertentu, dipatahkan langsung. Akta Pembiayaan Politk juga meletakkan limitasi yang baik, tapi menyekat kepada parti-parti yang sudah terbiasa pemberian oleh pemimpin mereka yang kaya dengan projek pelbagai.

Kini, parti politik harus lebih kreatif bagi menggerakkan jentera, ini khususnya benar bagi parti baharu seperti PPBM. Mengharapkan pemberian-pemberian kecil dari penyumbang mungkin memakan masa lama dan sukar bagi meneruskan kelangsungan gerak kerja ketika sumber pendapatan tidak mencukupi. Tidak ramai ahli PPBM yang dahuluya begitu bersemangat memenangkan parti mahu bekerja secara pro bono atau percuma. Bekalan “semangat perjuangan” semata-mata dilihat tidak mencukupi malah bagi sesetengah jentera, agak menghina.

Kehadiran media sosial atau penyokong PH di media sosial turut mengalami defisit yang agak teruk berbanding MN yang kini menikmati kelebihan sebagai pembangkang. Mereka telah memanfaatkan kelebihan tersebut. Bagus, memang begitulah sepatutnya strateginya. Manfaat kelebihan supaya kelemahan tidak terlalu jelas. Ini gagal dilakukan PH.

Sinar semakin malap

Maka apa lagi boleh diharapkan? Tidak ada sinar untuk PH yang berusaha mengurangkan hutang, meningkatkan daya ekonomi, menambah kebajikan rakyat dan mengangkat semula maruah negara sehingga menjadi Harimau Asia. Mungkin saya seorang pesimis, namun saya sudah lakukan bahagian saya dalam perjuangan ini dan akan terus lakukannya demi perjuangan yang saya rasa masih dilandasan yang betul selagi mana koreksi-koreksi tertentu dapat dilakukan seberapa segera.

Dahulunya dalam Umno, kita diajar untuk menyokong kepimpinan dalam apa jua keadaan. Kita dituntut mempertahankan mereka waima apa kes sekali pun.

Namun, kita sudah belajar dari kesilapan dan berjanji tidak akan mengulanginya. Kepimpinan harus ditegur, saluran yang sebetulnya telah digunakan namun usaha membetulkan keadaan masih lambat dan lemah. Bayangkan keadaannya apabila jentera parti yang ada hari ini sudah tawar hati memberi khidmat akibat demorilisasi. Adakah ketika itu kepimpinan masih boleh mendabik dada?

Amat merugikan kita semua jika kepimpinan Mahathir tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Kita tidak boleh mengharapkan beliau memberi kita jawapan kepada semua persoalan kita atau menyelesaikan masalah negara pada masa sama masalah parti juga.

Saya menulis agar kepimpinan tertinggi sedar. Mereka sedang kalah perang persepsi. Kelak segala usaha yang dilakukan yang sepatutnya menunjukkan kesan selepas 5-10 tahun akan diangkat sebagai kejayaan MN jika mereka berjaya berkuasa. Ketika itu mungkin ekonomi dunia semakin pulih dan ringgit kembali mengukuh dan mereka akan menunggang kejayaan reformasi PH bagi meneruskan kelangsungan mereka untuk entah berapa dekad pula.

Adakah rakyat Malaysia rela mengembalikan semula kuasa kepada kaki-kaki kleptokrat? Ya, mungkin tidak semua sempurna sepertimana dijanjikan atau cantik sepertimana diharapkan. Dengan pelbagai kekangan dan peninggalan legasi rasuah serta hutang yang diwarisi, PH telah melakukan dengan baik. Bolehkah usaha ini dipertingkatkan lagi? Sudah tentu dan saya pasti itulah yang sedang diusahakan untuk tahun-tahun mendatang.

Kembali kepada Umno atau meletakkan harapan kepada MN tidak akan membawa kita kehadapan. Mereka akan menarik kita semua kebelakang sepertimana mereka lakukan sebelum ini. Memberi pemberian-pemberian one-off kepada orang kampung sebagai upah mengundi mereka tanpa meletakkan apa-apa pelan komprehensif memberdaya rakyat agar mampu berdiri atas kaki sendiri. Itulah strategi Umno dari dulu, memastikan rakyat dikampung kekal miskin agar budi dari pemberian-pemberian ini dibalas dengan undi.

PH juga sudah terikut-ikut trend yang sama. Sudah tiba masanya kita desak kepimpinan kita menghentikan amalan ini dan lakukan perubahan sebenar. Memang diakui sukar dan keinginan untuk melakukannya amat kuat kerana ianya jalan mudah khusus bagi menteri-menteri yang mempunyai sumber kepada kewangan yang besar. Tapi jika kita sama seperti Umno, apakah mampu kita kata kelak bahawa kita lebih bermaruah, beramanah?

Saya pilih untuk menulis tatkala kehangatan PRK Tg Piai semakin terasa kerana merasakan ini masa paling sesuai ketika ramai ahli memfokus kepada berita yang sensasi yang cenderung mengkritik mereka atau lawan mereka.

Saya pilih untuk menjadi lebih baik. Jika mengkritik cara dan kaedah kepimpinan parti yang saya sanjungi menjadikan saya pengkhianat, maka pengkhianatlah saya.

Nik Fathurahman Nik Rasli adalah pembaca FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT