Tian Chua tak bangkit soal Prabakaran lepas kerusi Batu, kata Anwar

Sebanyak 14 NGO pada Rabu lalu mencadangkan P Prabakaran mengosongkan kerusi Parlimen Batu untuk memberi laluan kepada Tian Chua bertanding semula di kawasan terbabit.

PETALING JAYA: Anwar Ibrahim berkata, PKR dan bekas ahli Parlimen Batu, Tian Chua tidak pernah membincangkan isu pengosongan kerusi Parlimen itu dan semua pihak perlu menghormati mandat yang diberikan rakyat kepada P Prabakaran.

“…dalam pertemuan saya dengan Tian Chua yang terbaru tidak dibangkitkan lagi (soal pengosongan kerusi Batu). Kita boleh bincang dalam saluran parti, tidak perlu hal ini untuk mengeruhkan suasana.

“Sekarang tidak difikirkan (soalan peletakan jawatan Prabakaran) dan ia tidak dijadikan syarat daripada awal.

“Saya tidak mahu buat keputusan muktamad, terserah kepada perbincangan, saya ada jumpa Prabakaran, ada hubungi Tian Chua, biar rundingan ikut saluran parti, mesyuarat,” katanya selepas berucap pada Konvensyen PKR Kedah dan Perlis di Kulim hari ini.

Mengulas kenderaan Prabakaran dibaling telur di Kuala Lumpur malam tadi, Anwar berkata, beliau tidak tahu jika insiden itu ada kaitan dengan isu desakan supaya ahli Parlimen Batu terbabit mengosongkan kerusinya.

Mengikut laporan polis, kejadian itu berlaku di belakang sebuah restoran di Batu 4/12, Jalan Ipoh selepas kenderaan itu diparkir pemandunya sebelum pulang.

Rabu lalu, 14 badan bukan kerajaan mencadangkan Prabakaran mengosongkan kerusi itu untuk memberi laluan kepada Tian Chua bertanding semula di kawasan terbabit.

Ia susulan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 6 November lalu memutuskan tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya melucutkan hak pencalonan naib presiden PKR itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 tahun lalu adalah tidak sah.

Bagaimanapun, Tian Chua dilapor menafikan beliau terbabit dalam sebarang desakan untuk Prabakaran melepaskan kerusi itu.

Prabakaran pula dilaporkan berkata, beliau akan terus berkhidmat kepada rakyat di kawasannya, walaupun berdepan desakan 14 NGO itu.