Umno dakwa kad pengenalan penyokong diguna pakai, Muhyiddin serah kepada SPR

SPR menjangka 70% pengundi keluar mengundi dan keputusan pilihan raya kecil Parlimen Tanjung Piai diketahui selewat-lewatnya jam 10 malam hari ini.

PONTIAN: Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin menyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengesahkan dakwaan bahawa terdapat kad pengenalan pengundi yang diguna pakai sebelum mereka keluar mengundi pada pilihan raya kecil Parlimen Tanjung Piai hari ini.

“Itu saya tidak tahu. Saya bukan pegawai SPR. Apa pun itu terserah kepada pihak SPR untuk mengesahkan sama ada ia betul atau tidak,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Pontian hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tiga laporan polis yang dibuat berkait dakwaan terdapat kad pengenalan pengundi yang diguna pakai sebelum mereka mengundi.

Terdahulu Setiausaha Agung Umno Annuar Musa mendakwa terdapat tiga pengundi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sungai Boh, Kukup di sini yang terkejut apabila mendapati mereka tidak dibenarkan mengundi oleh pegawai SPR yang bertugas.

Beliau berkata, tiga pengundi itu dimaklumkan oleh SPR bahawa kad pengenalan mereka sudah diguna pakai untuk tujuan pengundian.

“Helah apa sedang mereka lakukan? Laporan polis sedang dibuat,” katanya di Twitter.

Dalam pada itu, Muhyiddin mengingatkan semua parti yang bertanding supaya tidak menimbulkan provokasi sehingga mencetuskan keadaan yang tidak harmoni dan boleh mengganggu proses pilihan raya yang sedang berjalan.

“Jangan buat provokasi. Ini sesuatu yang harus dielakkan supaya pengundi tak takut keluar. Setakat 12 jam lebih, keadaan baik dan terkawal,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, kehadiran bekas perdana menteri Najib Razak pada hari pengundian di Tanjung Piai hari ini seolah-olah membayangkan “berita gembira” buat calon Barisan Nasional (BN) ketika pengiraan undi malam ini.

Najib yang diiringi pengerusi BN Johor Hasni Mohamad ditemui di pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Mohd Yunos Sulaiman di sini.

Survei yang dijalankan dalam kalangan pengundi oleh beberapa pihak sebelum ini mendapati kemungkinan besar berlakunya peralihan sokongan pengundi Cina kepada calon BN, Wee Jeck Seng.

Tinjauan melibatkan beberapa ratus pengundi pelbagai kaum, jantina, usia dan lokasi mengundi itu menunjukkan kemenangan selesa untuk calon BN itu mengatasi pencabar utamanya daripada Pakatan Harapan (PH) Karmaine Sardini.

Empat calon lain yang turut bertanding ialah Wendy Subramaniam (Gerakan), Badrulhisham Abdul Aziz (Berjasa) dan dua calon Bebas Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Pada pilihan raya umum tahun lepas, Dr Md Farid Md Rafik (PH-PPBM) memperoleh 39.7% undi (21,255), Wee (BN-MCA) 38.7% undi (20,731) dan Nordin Othman (PAS) 5.5% undi (2,962).

SPR menjangka 70% pengundi keluar mengundi dan keputusan pilihan raya diketahui selewat-lewatnya jam 10 malam hari ini.