3 mengaku tidak bersalah bakar kilang di Sungai Petani

Tertuduh secara bersama-sama didakwa melakukan khianat api untuk menyebabkan kebinasaan sebuah kilang di kawasan perindustrian Bakar Arang, Sungai Petani 8 April lepas. (Gambar Facebook)

SUNGAI PETANI: Tiga lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan khianat dengan api untuk menyebabkan kebinasaan sebuah kilang April lepas.

Kelindan lori M Kathiresan, 31; jurujual penapis air; P Selvanathan, 28, dan pekerja kontrak Lim Chee Kwang, 35, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim N Priscilla Hemamalini selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama dituduh melakukan khianat dengan api untuk menyebabkan kebinasaan sebuah kilang kepunyaan milik Tan See Wee, 39, yang biasa digunakan sebagai tempat simpanan harta benda.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di belakang Blok B Kilang Plastik Green Mark Technology Sdn Bhd, Jalan 9 Kawasan Perindustrian Bakar Arang, Sungai Petani lebih kurang jam 3 pagi pada 18 April lepas.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda.

Mahkamah membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan menetapkan 15 Dis untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nordiyanasari Omar manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam KT Jayaraj.