Bekas pemain Selangor Faiz Nasir kembali sertai skuad penyu

Mohd Faiz Nasir berhijrah ke Selangor pada musim lepas. (Gambar Bernama)

KUALA TERENGGANU: Bekas pemain sayap Selangor, Mohd Faiz Nasir sah menjadi milik Terengganu FC (TFC) bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) 2020.

Perkara itu diumumkan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dalam kenyataan hari ini.

Faiz, 28, anak kelahiran Kelantan pernah menyarung jersi TFC pada 2018 di bawah kendalian ketua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim sebelum berhijrah ke Selangor musim lepas.

“Majlis menandatangani kontrak selama setahun antara Faiz dan PBSNT berlangsung sebentar tadi.

“Kehadiran Faiz diharap dapat memantapkan lagi skuad penyu pada musim depan di bawah kendalian ketua jurulatih, Nafuzi Zain,” demikian menurut kenyataan tersebut.

Selain Faiz, PBSNT sebelum ini turut mengumumkan kemasukan dua tonggak baru, iaitu bekas kapten pasukan Perak, Mohamad Nasir Basharudin dan bekas bek kiri Felda United, Arif Fadzillah bagi mengisi slot pemain tempatan.

Sementara itu, Nafuzi berkata, kehadiran Faiz diibaratkan sirih pulang ke gagang dan amat dinanti-nantikan peminat bola sepak Terengganu.

“Seperti yang kita maklum, Faiz pernah bersama TFC dan membantu pasukan merebut gelaran naib juara Piala Malaysia pada 2018 selepas menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam ‘pertempuran’ paling sengit.

“Walaupun bertubuh kecil, Faiz memiliki kelebihan yang tersendiri dan saya harap kehadirannya akan memberi impak kepada pasukan musim depan,” katanya.