Beri jaminan kerja kepada ahli IPCMC seperti hakim, gesa G25

G25 berkata, pegawai polis yang jujur dan profesional tidak patut takut kepada RUU IPCMC.

PETALING JAYA: Kumpulan bekas penjawat awam kanan, G25 mencadangkan kerajaan memberi jaminan pekerjaan seperti hakim, kepada individu yang dilantik menyertai Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Katanya, ini ialah langkah penting untuk meningkatkan integriti dan mengekalkan kebebasan IPCMC.

G25 turut mencadangkan penubuhan sebuah jawatankuasa dianggotai individu terkenal yang pernah memegang jawatan tinggi kerajaan seperti bekas hakim mahkamah atasan atau bekas pegawai kanan undang-undang kerajaan mempunyai rekod cemerlang dan terkenal dengan integriti mereka, untuk mengendalikan proses pelantikan.

“Ia boleh menyerahkan calon terpilih kepada perdana menteri yang akan mengesyorkan nama itu kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, proses pelantikan itu perlu jelas bagi memastikan ia adil, telus, berdasarkan merit dan keanggotaan IPCMC mencerminkan kepelbagaian masyarakat Malaysia.

“Demi kepentingan kebebasan suruhanjaya itu, perdana menteri hanya perlu mempunyai pembabitan nominal dalam pelantikan pesuruhjaya IPCMC,” katanya sambil menambah Rang Undang-undang IPCMC menyatakan Agong atas nasihat perdana menteri, boleh memecat pesuruhjaya pada bila-bila masa.

“Ketika digubal, kuasa membuat peraturan bagi tujuan menguatkuasakan Akta IPCMC terletak pada perdana menteri. Kami berpendapat suruhanjaya itu perlu diberikan kuasa untuk membuat peraturan sendiri, bukannya perdana menteri.

“Ini adalah logik dan sejajar hakikat untuk menjadi sebuah badan bebas, suruhanjaya itu perlu mempunyai kuasa untuk membuat dan meminda peraturannya dari semasa ke semasa untuk menambah baik rangka kerja penguatkuasaan dan selaras perkembangan baru.”

G25 berkata, di bawah RUU itu, perdana menteri diberikan kuasa untuk meminda dari semasa ke semasa, jadual yang memberikan komposisi lembaga disiplin itu.

“Jadual itu ialah bahagian penting dalam akta itu. Kami berpendirian hanya Parlimen patut mempunyai kuasa untuk meminda jadual itu, bukannya eksekutif.”

RUU IPCMC dibentangkan di Dewan Rakyat untuk bacaan pertama bulan lalu, tetapi ia kemudiannya dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk pindaan lanjut susulan bantahan ahli Parlimen.

RUU itu bertujuan menubuhkan sebuah badan bagi menangani perkara berkaitan disiplin pasukan polis; walaupun kewujudan Suruhanjaya Pasukan Polis yang sebaliknya akan menangani perkara sedemikian.

Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen sudah mengadakan beberapa rundingan di seluruh negara untuk mengumpul maklum balas, termasuk daripada pegawai polis.

G25 berkata, pesuruhjaya dan pegawai IPCMC perlu mempunyai semua kuasa siasatan seperti terkandung dalam Kanun Prosedur Jenayah dan kuasa itu sepatutnya menjadi tambahan kepada kuasa yang diperuntukkan di bawah akta itu.

“Seksyen khusus perlu dimasukkan dalam RUU itu untuk memberi kuasa kepada IPCMC mengadakan pendengaran awam, memanggil dan menyoal saksi, memaksa pengeluaran dokumen dan menahan saksi bagi tujuan siasatan serta pendengaran. Ia juga perlu mempunyai peruntukan bagi perwakilan undang-undang.

“IPCMC tidak boleh menjadi sekadar barang pameran atau harimau tanpa taring.”

G25 berkata, peruntukan perlindungan saksi di bawah RUU itu juga tidak mencukupi.

“Sesiapa yang mengugut atau menghalang sesiapa daripada menyerahkan bukti kepada IPCMC perlu dikenakan hukuman berat. Cadangan sedia ada ialah hukuman penjara dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya. Pada pendapat kami, ini tidak mencukupi.

“Orang ramai akan mempunyai keyakinan membuat laporan kepada IPCMC selepas ia mempunyai rangka kerja perlindungan saksi yang jelas.”

Katanya, RUU IPCMC menyatakan sebarang salah laku di bawah peraturan polis dan Perintah Tetap Ketua Polis Negara dikecualikan daripada bidang kuasa IPCMC.

“Pada pandangan kami, pembatasan ini tanpa alasan baik dan Seksyen 22(2) RUU IPCMC yang menyatakan perkara sama perlu dikeluarkan. Perintah Tetap Ketua Polis Negara perlu didedahkan kepada orang ramai kerana ia masih terletak di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

“RUU IPCMC membenarkan IPCMC memberi fungsi dan kuasanya kepada mana-mana anggota dalam pasukan polis. Kami berpendapat peruntukan ini perlu dikecualikan kerana ia menjejaskan kebebasan IPCMC.”

Aduan terhadap ketua polis negara

Di bawah RUU itu, aduan terhadap ketua polis negara tidak akan ditangani IPCMC, sebaliknya ia akan dirujuk kepada ketua setiausaha kerajaan dan sebuah lembaga tatatertib khas akan ditubuhkan.

G25 berkata, IPCMC perlu diberikan kuasa untuk mengendalikan aduan terhadap ketua polis negara dan tiada perlindungan atau layanan istimewa patut diberikan kepada ketua polis negara di bawah RUU IPCMC.

“Sejajar kesaksamaan di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan, ketua polis negara perlu tertakluk kepada pengawasan sama seperti pegawai polis lain.”

Katanya, ia turut mencadangkan polis diberikan 24 jam untuk merujuk kes kecederaan serius atau kematian dalam tahanan kepada IPCMC.

“RUU ini turut menyentuh pembubaran Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC). Kami berpendapat EAIC tidak boleh dibubarkan segera selepas penubuhan IPCMC, tidak sehingga Ombudsman yang dicadangkan itu ditubuhkan.

“Jika tidak, ketika menunggu penubuhan Ombudsman, siapa yang akan menangani aduan dan salah laku agensi penguatkuasaan yang kini di bawah EAIC?”

G25 berkata, RUU IPCMC sedia ada mengandungi kekaburan dan kelemahan yang perlu dipinda serta ditambah baik oleh penggubal undang-undang.

Katanya, lebih banyak sesi penyelidikan dan rundingan dengan orang ramai serta NGP perlu dijalankan untuk menambah baik RUU itu.

“Kerajaan tidak boleh tergesa-gesa menguatkuasakan RUU IPCMC dan penggubal undang-undang serta orang yang mendraf RUU itu perlu menghabiskan masa secukupnya untuk membahas dan melaksanakan langkah betul bagi menambah baik RUU IPCMC sebelum ia diluluskan.

“Polis dilaporkan mengkritik RUU itu sebagai drakonian dan bersifat diskriminasi. Kami tidak bersetuju.

“Kami berpendapat kebimbangan itu tidak adil dan tidak berasas. Sebaliknya, kami mendapati RUU Itu mempunyai banyak kekurangan. Kita perlu mengkajinya lebih serius dan penambahbaikan perlu dilakukan untuk undang-undang dicadangkan itu lebih berkesan.

“Pegawai polis yang jujur dan profesional tidak perlu takut kepada RUU itu. Sebaliknya, ia akan perlu disambut baik.”

G25 berkata, terdapat 1,800 kes kematian dalam tahanan antara 2010 hingga 2017 dan kes “kehilangan paksa” yang berpublisiti tinggi belum diselesaikan.