Dana asing penjual bersih ekuiti Malaysia RM351.6 juta minggu ini

Menurut penganalisis, pertumbuhan lebih rendah 4.4 peratus pada 3Q2019 berbanding 4.9 peratus pada suku sebelumnya disebabkan ketidaktentuan luar yang menyumbang kepada sentimen perniagaan dan pengguna yang lemah.

KUALA LUMPUR: Dana asing merupakan penjual bersih berjumlah RM351.6 juta antara 11 dan 14 Nov, lebih tinggi daripada RM44.1 juta yang dicatatkan antara 4 hingga 7 Nov.

Ketua ekonomi Bank Islam Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, situasi ini menunjukkan pelabur asing mengambil sikap berhati-hati terhadap ekuiti Malaysia.

“Isu-isu yang membelenggu perbincangan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China terus menjadi tumpuan memandangkan kemajuannya masih tidak menentu,” katanya hari ini.

“Angka terbaru Keluaran Dalam Negara Kasar(KDNK) suku ketiga 2019 (3Q2019) Malaysia menunjukkan impak daripada kelembapan global berikutan perang perdagangan yang berterusan sejak tahun lepas menjejaskan permintaan luar,” kata Afzanizam.

Beliau berkata, pertumbuhan lebih rendah 4.4 peratus pada 3Q2019 berbanding 4.9 peratus pada suku sebelumnya disebabkan ketidaktentuan luar yang menyumbang kepada sentimen perniagaan dan pengguna yang lemah dalam negara.

Beliau juga berkata, perbelanjaan pengguna terus menjadi tonggak utama untuk pertumbuhan domestik telah kembali ke paras normal.

Katanya, perkembangan membabitkan perang perdagangan AS-China akan terus menjadi tumpuan utama bagi pasaran ekuiti.

Afzanizam berkata pengumuman keputusan pendapatan syarikat bagi tempoh 3Q2019 dijangka meningkatkan momentum.

FBM KLCI Bursa Malaysia ditutup di bawah 1,600 mata minggu ini.

“Secara menyeluruh, FBM KLCI dijangka didagangkan dalam jajaran kecil minggu depan,” katanya.