Dr M perlu strategi baru selepas PRK Tg Piai, kata ahli Parlimen

PETALING JAYA: Seorang ahli Parlimen PKR hari ini menyarankan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad tampil dengan strategi baru selepas kekalahan memalukan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai semalam.

Barisan Nasional menewaskan gabungan parti pemerintah itu dengan majoriti besar 15,086 undi yang menyaksikan calonnya kembali menjadi wakil rakyat buat penggal ketiga, selepas kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 tahun lalu.

Ahli Parlimen Subang, Wong Chen berkata, antara faktor yang menyumbang kepada kekalahan PH ialah kurang pembaharuan Parlimen secara sistematik.

Beliau berkata, tiada pengurangan kuasa berlebihan perdana menteri dan Putrajaya belum melaksanakan pengasingan kuasa sewajarnya.

Faktor lain, katanya ialah “ekonomi dalam keadaan lembap” dan tiada langkah konkrit untuk menangani kos sara hidup tinggi.

Beliau berkata, Malaysia turut “dibelenggu dan diganggu” isu serta ketegangan kaum.

“Pada pendapat saya, perdana menteri perlu sedar beliau harus tampil dengan strategi baru tidak lama lagi.

“Beliau perlu mempertimbangkan untuk melaksanakan pembaharuan sepenuhnya atau berdepan risiko kita mengalami lebih banyak kekalahan.”

Wong Chen menyifatkan PRK Tanjung Piai ialah “kejutan besar” kepada PH dengan sebahagian besarnya perlu dipersalahkan ke atas Mahathir.

Katanya, ramai pengulas politik berpendapat PRK Tanjung Piai ialah satu bentuk pungutan suara terhadap kepimpinan Mahathir.

“Saya cenderung bersetuju dengan pandangan ini.”

Beliau berkata, walaupun seseorang boleh menyalahkan prestasi sesetengah menteri atas kekalahan itu, tetapi seperti dalam semua organisasi, kebanyakan ketua eksekutif perlu bertanggungjawab.

“Jadi, sebahagian besar tanggungjawab itu terletak di pangkuan Dr Mahathir.”