Fakta atau mitos biji cili boleh jadi punca sakit apendiks

Kita seringkali mendengar kata-kata orang tua kononnya jangan makan terlalu banyak cili nanti akan kena apendiks.

Menurut Dr Maisara Yusra yang merupakan Penolong Profesor Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya (CUCMS), tiada sebarang kajian saintifik berjaya membuktikan radang apendiks adalah disebabkan pemakanan.

Jadi, kepercayaan biji cili boleh menyebabkan sakit apendiks yang selama ini ditakuti masyarakat kita adalah mitos semata-mata!

Beliau berkata kepercayaan ini datangnya daripada petua masyarakat terdahulu yang percaya biji cili dan pelbagai lagi makanan lain seperti biji anggur, tembikai dan jambu batu boleh tersangkut dan tersimpan pada pundi apendiks.

Namun hakikatnya, semua orang berisiko mengalaminya walaupun tidak makan biji makanan seperti yang dinyatakan.

Sebenarnya, segala makanan yang keras seperti biji cili dan sebagainya akan hancur di dalam perut disebabkan oleh asid perut.

Selepas hancur sepenuhnya, barulah ia akan masuk ke usus untuk proses pembuangan najis.

Jadi, pemakanan bukanlah punca radang apendiks. Tetapi, apakah punca sebenar ia berlaku?

Apa punca sebenar radang apendiks?

Dr Maisara turut menyatakan bahawa radang apendiks (appendicitis) bukanlah sejenis penyakit tetapi satu kondisi di mana pundi apendiks (vermiform apendiks) tersumbat.

Untuk anda yang belum tahu, ia adalah satu struktur berbentuk tiub yang terletak pada bahagian pemulaan usus besar.

Pun begitu, fungsi sebenar organ ini masih belum dapat diketahui dengan tepat.

Mengapa ia boleh tersumbat jika bukan sebab pemakanan?

Ia adalah disebabkan oleh bukaan apendiks menuju ke tiub besar atau sekum tersekat.

Sekatan ini mungkin berlaku akibat lendir tebal dalam apendiks atau serpihan najis keras daripada tiub besar termasuk ke pundi apendiks. Inilah punca sebenar radang apendiks berlaku.

Selain itu, kondisi ini juga boleh berlaku berpunca daripada jangkitan bakteria.

Ia sering menyerang golongan muda sekitar usia 10 hingga 30 tahun.

Untuk merawatnya, doktor hanya akan beri penderita antibitiotik untuk melegakannya.

Jika masih tidak pulih, cara terbaik untuk menghilangkannya adalah melalui pembedahan membuang pundi apendiks (apendektomi).

Kesimpulannya, pemakanan sama sekali bukan punca sakit apendiks.

Jadi, anda tidak perlu bimbang untuk makan lauk sambal yang menjadi kegemaran anda lagi.

Artikel ini diterbitkan di hellodoktor.com dan disemak Dr Duyen Le. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]