GPS takkan kembali ke pangkuan BN kerana ‘nak berkokok pun tak boleh’

Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari Openg (empat dari kiri) bersama presiden tiga parti politik lain ketika melancarkan Gabungan Parti Sarawak di Kuching pada 19 Januari lalu. (Gambar Bernama)

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak bercadang mempertimbangkan semula untuk kembali menyertai Barisan Nasional (BN), walaupun parti itu mencapai kemenangan besar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai semalam.

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, beliau secara peribadi melihat ada hikmahnya PBB dan tiga parti Sarawak lain meninggalkan BN dan menubuhkan GPS selepas Pilihan Raya Umum ke-14 tahun lalu.

“Ketika dalam sana (BN), nak berkokok pun tidak boleh, sekarang kita (PBB dan parti GPS lain) berkokok sendiri, mereka (parti lain) terpaksa mendengar kita,” katanya selepas merasmikan acara TEDx Kenyalang 2019 di sini, hari ini.

Karim yang juga menteri pelancongan, kesenian, kebudayaan, belia dan sukan Sarawak berkata demikian selepas calon BN, Wee Jeck Seng menang dalam pertandingan enam penjuru dengan majoriti besar 15,086 undi.

Wee memperoleh 25,466 undi, manakala calon Pakatan Harapan, Karmaine Sardini sekadar mendapat 10,380 undi, calon Gerakan, Wendy Subramaniam (1,707), calon Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia, Badhrulhisham Abdul Aziz (850 undi) dan dua calon bebas, Ang Chuan Lock (380 undi) serta Faridah Aryani Abdul Ghaffar (32 undi).