June Wei juarai Cabaran Antarabangsa Malaysia

June Wei kini berada di ranking ke-75 dunia. (Gambar Bernama)

KANGAR: Pemain perseorangan lelaki negara, Cheam June Wei terus menampilkan aksi cemerlang apabila merangkul kejuaraan dalam Cabaran Antarabangsa Malaysia 2019 hari ini.

Turun selaku pilihan kelapan kejohanan, June Wei bagaimanapun terpaksa berhempas pulas sebelum menewaskan pemain China, Ren Peng Bo yang juga pilihan keenam, 21-16, 19-21, 21-18 dalam masa satu jam 12 minit, sekali gus meraih gelaran keduanya di pentas antarabangsa.

Pemain berusia 22 tahun itu yang sebelum ini meraih gelaran pada Terbuka Antarabangsa Belanda ke-19 pada April tahun lepas, membawa pulang wang tunai AS$1,875 (kira-kira RM7,790), pingat dan trofi.

Ketika ditemui Bernama, June Wei yang kini menghuni ranking ke-75 dunia, berpuas hati dengan pencapaiannya itu kerana berjaya menebus kekecewaan pada beberapa kejohanan sebelum ini.

“Semua orang sokong saya (beraksi di tempat sendiri). Namun, ia bukan perlawanan mudah kerana lawan saya (Peng Bo) bagus. Saya pernah kalah dan menang berdepan dia.”

June Wei berkata, selepas ini, beliau akan menyertai kejohanan Gwangju Korea Master 2019 bermula 19 Nov ini.

Sementara itu, ketua jurulatih perseorangan negara, Misbun Sidek memuji peningkatan prestasi June Wei dan beberapa pemain negara lain pada kejohanan tersebut.

“June Wei, beliau masih muda dan perjalanan kariernya masih jauh. Apapun, kita harap dia boleh pergi lebih jauh (dalam arena badminton),” kata Misbun.

Dalam pada itu, pasangan beregu campuran negara, Man Wei Chong-Pearly Tan gagal mengikut jejak langkah June Wei, selepas tewas kepada pasangan China pada aksi final.

Pasangan itu tewas kepada pilihan kelima kejohanan, Dong Wei Jie-Chen Xiao Fei 16-21, 19-21 dalam 31 minit.

Wei Chong berkata, meskipun tewas, ia merupakan satu pencapaian kepada beliau dan Pearly yang bukan pilihan kejohanan itu.

“Ini adalah satu kejayaan kepada kami berdua kerana boleh sampai ke peringkat akhir. Ia merupakan pendedahan terbaik buat kami berdua.”

Pasangan itu membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah AS$950, pingat dan trofi.