Kalah di Tg Piai, bukan bermakna PH gagal sebagai kerajaan, kata Zuraida

Pimpinan dan penyokong BN meraikan kemenangan calonnya Wee Jeck Seng dalam PRK Tanjung Piai semalam dengan majoriti besar 15,086 undi mengalahkan pencabar terdekat daripada PH Karmaine Sardini.

KUALA LUMPUR: Mengaku kecewa dan sedih dengan keputusan pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai semalam, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin bagaimanapun berkata, ia bukanlah petanda bahawa Pakatan Harapan (PH) gagal sebagai kerajaan.

Beliau berkata, PH sebaliknya perlu mengambil iktibar atas kekalahan tersebut dan segera memantapkan penyebaran maklumat berkaitan dasar kerajaan kepada rakyat.

“Saya kecewa dan sedih, namun saya memahami keadaan bahawa kekalahan ini tidak boleh diambil sebagai satu penanda aras menunjukkan kerajaan PH gagal dan sebagainya kerana kita baru berusia satu setengah tahun.

“Namun kita harus ambilnya sebagai satu iktibar. Tingkatkan jentera pilihan raya dan tingkatkan penerangan maklumat apa yang telah dibuat oleh kerajaan PH.

“Semua jentera kerajaan baru ini perlu bekerja lebih cepat lagi untuk membawa perubahan dengan lebih menyerlah,” katanya kepada FMT ketika ditemui pada program ‘Back to School’ anjuran Parlimen Ampang di sini, hari ini.

Pada PRK Parlimen Tanjung Piai semalam, calon Barisan Nasional (BN) Wee Jeck Seng mengalahkan calon PH Karmaine Sardini dengan majoriti besar 15,086 undi untuk merampas semula kerusi tersebut.

Wee mendapat 25,466 undi, berbanding Karmaine yang memperoleh 10,380 undi.

Empat calon lain yang turut bertanding masing-masing mendapat 1,707 undi (Wendy Subramaniam-Gerakan), 850 (Badrulhisham Abdul Aziz-Berjasa), 380 (Ang Chuan Lock-Bebas) dan 85 undi (Faridah Aryani Abd Ghaffar-Bebas).

Ketika berucap merasmikan majlis hari ini, Zuraida turut mengingatkan hadirin supaya “tidak melatah” ketika kerajaan berada dalam tempoh membawa perubahan kepada Malaysia.

“Mana lebih lama 61 tahun atau setahun setengah? 61 tahun. Jadi janganlah kita mudah melatah dengan keadaan sekarang. Kerajaan masih lagi dalam proses membawa perubahan dan (melaksanakan) pembetulan. Jadi jangan kita terlampau ghairah membanding-bandingkan.

“Kalau sudah 61 tahun, sudah terlalu dimudah-mudahkan dengan semua pemberian, maka rakyat tidak akan jadi matang dan tidak akan berjaya mengendalikan hidup mereka sendiri. Kerajaan sekarang sedang berusaha semampu mungkin untuk bantu rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya berhubung kenyataan bekas timbalan presiden PKR, Syed Husin Ali yang berkata, keputusan PRK Tanjung Piai menunjukkan kekecewaaan rakyat terhadap kerajaan hari ini, khususnya Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, Zuraida berkata, tohmahan itu tidak sepatutnya dibuat.

“Ini satu tohmahan yang tak patut dibuat terhadap seorang perdana menteri yang berusaha sedaya upaya untuk pulihkan ekonomi negara ini.

“Tak sepatutnya. Setiap tohmahan kepada perdana menteri sudah tentu melibatkan menteri sekali, termasuk pemimpin PH, presiden PKR, presiden Amanah dan DAP. Tak boleh salahkan seseorang begitu,” katanya.