Krisis Pemuda PKR: Zuraida dakwa Anwar ada kuasa untuk bertindak ‘apa-apa sahaja’

Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin berkata, telah menjadi tradisi bahawa timbalan presiden parti akan dijemput merasmikan kongres sayap Pemuda dan Wanitanya.

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin mendakwa kemelut yang berlaku antara Pemuda PKR dengan timbalan presiden parti itu “direstui” oleh Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Katanya, sebagai orang nombor satu parti, Anwar mempunyai kuasa untuk melakukan apa-apa sahaja.

“Kemelut? Tak ada kemelut kerana memang menjadi tradisi timbalan presiden merasmikan mesyuarat agung Wanita dan Pemuda PKR,” katanya merujuk kepada Mohamed Azmin Ali yang dibatalkan jemputan untuk merasmikan kongres Pemuda parti itu 6 Disember depan.

“Tapi kalau presiden sudah merestuinya, nak buat cara begitu, jadi kita biarkan sajalah. Sebab presiden ada kuasa nak buat apa-apa dia suka,” katanya kepada FMT ketika ditemui pada program ‘Back To School’ di Dewan Dato Ahmad Razali, Ampang, di sini, hari ini.

Zuraida yang juga menteri perumahan dan kerajaan tempatan berkata, pertelingkahan dalam kalangan Pemuda PKR itu adalah susulan keputusan membatalkan jemputan tradisi itu “seperti diharapkan” oleh Anwar.

“Tapi sekarang (berlaku pertelingkahan dalam kalangan Pemuda PKR)… yalah kalau itu yang presiden harapkan, itulah yang terjadi,” katanya ringkas.

Krisis dalaman Pemuda PKR tercetus apabila ketuanya, Akmal Nasir mengumumkan pembatalan jemputan kepada Azmin untuk merasmikan kongres nasional sayap parti itu pada 6 Disember walaupun majoriti pimpinannya menyokong kehadiran orang nombor dua parti itu sebagai perasmi.

Keadaan semakin panas apabila Azmin mendakwa wujud “tangan ghaib” yang mendorong Akmal membatalkan jemputan tersebut dan sebaliknya menjemput Penasihat PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai perasmi.

Namun, Akmal membalas kenyataan tersebut dengan berkata, tindakan Azmin tidak menghadiri mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan Biro Politik PKR selama setahun serta sering mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan pendirian parti merupakan “tangan ghaib” sebenar yang merosakkan PKR.

Anwar turut membidas dakwaan Azmin itu dan menegaskan bahawa segala keputusan dibuat melalui mesyuarat MPP dan Biro Politik parti, bukannya kerana ugutan mana-mana individu.

Terdahulu, PKR Sarawak turut melahirkan rasa tidak puas hati berhubung pembatalan jemputan kepada Azmin, malah pengerusinya, Baru Bian turut mengumumkan pembatalan konvensyen negeri yang dijadualkan 23 November ini sehingga krisis itu selesai.

Anwar bagaimanapun dilaporkan menolak kenyataan tersebut.

Semalam, ketua Pemuda PKR Sarawak, Saifunnizam Sam menyokong keputusan Pengarah Konvensyen-konvensyen Negeri PKR Nik Nazmi Nik Ahmad untuk meneruskan konvensyen PKR negeri itu seperti dijadualkan.