Mohamad Sabu: Asean, China setuju adakan eksesais maritim kali ke-2

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu menghadiri Permukiman Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan Asean ke-13 (ADMM) dan ADMM-PLUS ke-6 di Thailand hari ini. (Gambar Facebook)

BANGKOK: Asean and China bersetuju untuk mengadakan satu lagi eksesais maritim bagi memupuk perdamaian di rantau ini.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata, kesemua 10 negara anggota Asean dan China pada prinsipnya bersetuju mengambil bahagian dalam latihan tentera laut pelbagai hala kali kedua itu.

“Kami bersetuju mengadakan eksesais maritim kali kedua itu, bagaimanapun belum membincangkannya secara terperinci bila dan di mana ia akan diadakan.

“Eksesais bersama tentera laut merupakan satu lagi usaha oleh Asean dan China dalam mempastikan keamanan dan kestabilan di rantau ini,” katanya kepada pemberita di sini.

Ditanya sama ada eksesais maritim itu akan menjadi acara tahunan, Mohamad berkata “ia belum diputuskan lagi”.

Terdahulu Mohamad menghadiri Permukiman Asean+1 (China) di sini.

Mohamad berada di Bangkok bagi menghadiri Permukiman Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan Asean ke-13 (ADMM) dan ADMM-PLUS ke-6.

Thailand merupakan pengerusi Asean tahun ini.

ADMM merupakan mesyuarat dalam kalangan menteri pertahanan 10 negara anggota Asean bagi membincangkan mekanisme pertahanan dalam memupuk keamanan dan kestabilan di rantau ini serta mengeratkan kerjasama pertahanan strategik.

Eksesais maritim buat pertama kali diadakan pada tahun 2015.

Pada Okt tahun lepas, Asean and China mengadakan latihan tentera laut yang pertama di pangkalan tentera laut Zhanjiang di selatan China.

Pada Sept tahun ini Asean dan Amerika Syarikat mengadakan eksesais maritim pertama bermula dari pangkalan tentera laut Sattahip di Thailand dan berakhir di Singapura.

Dipimpin bersama oleh Amerika Syarikat dan tentera laut Thaiand, eksesais itu merentasi perairan antarabangsa di Asia Tenggara, termasuk Teluk Siam dan Laut China Selatan sebelum berakhir di Singapura.