Pastikan PH tunai janji PRK Tanjung Piai, kata Jeck Seng

Ahli Parlimen Tanjung Piai yang baru Wee Jeck Seng mengadakan tinjauan dan ramah mesra dengan penduduk di Pekan Nanas hari ini.

PEKAN NANAS: Ahli Parlimen Tanjung Piai yang baru merangkap ketua MCA bahagian itu Wee Jeck Seng berkata, beliau akan menuntut Pakatan Harapan (PH) menunaikan janji yang dibuat semasa kempen pilihan raya kecil (PRK) di situ yang berakhir semalam.

Wee yang baru memenangi kerusi Parlimen tersebut berkata, janji tersebut perlu ditunaikan demi kepentingan penduduk.

Wee berkata, majoriti undi yang besar yang diperolehinya dalam pilihan raya berkenaan membuktikan kepercayaan pengundi Tanjung Piai kepada beliau dan menjadi tanggungjawabnya memenuhi kepercayaan itu.

“Oleh sebab itu kalau kerajaan sudah buat keputusan atau apa-apa pengumuman, saya kena pastikan dan tuntut supaya apa yang dijanjikan ditunaikan untuk kepentingan pengundi Tanjung Piai,” katanya kepada media ketika mengadakan tinjauan bersama penduduk di sini, hari ini.

Beliau membuat tinjauan ke lebih 20 premis perniagaan di sekitar bandar ini.

Dalam PRK yang berakhir semalam, Wee yang mewakili Barisan Nasional (BN) berjaya merampas kembali kerusi tersebut daripada Pakatan Harapan (PH) dengan majoriti besar 15,086 undi.

Beliau mendapat 25,466 undi, menewaskan pencabar terdekat daripada PH, Karmaine Sardini yang memperoleh 10,380 undi.

Empat calon lain yang turut bertanding, iaitu Wendy Subramaniam (Gerakan) sekadar meraih 1,707 undi, Badhrulhisham Abdul Aziz (Berjasa) mendapat 850 undi dan dua calon bebas, Ang Chuan Lock serta Faridah Aryani Abd Ghaffar masing-masing memperoleh 380 undi dan 32 undi.

Dalam pada itu, Wee berterima kasih kepada semua pengundi yang memilihnya, selain merakamkan rasa terharu beliau atas kemenangan yang begitu besar.

Wee berkata, beliau akan membuka dua pusat khidmat di situ iaitu di Pekan Nanas dan Pontian bagi memenuhi harapan pengundi, selain menunaikan tanggungjawabnya menjaga kepentingan dan memberi kemudahan rakyat.

“Ia juga bagi membolehkan rakyat menyuarakan sebarang permasalahan yang dihadapi. Mereka yang ada keperluan atau permasalahan boleh merujuk kepada saya.

“Saya akan meneruskan perjuangan. Banyak juga peruntukan projek yang dijanjikan oleh kerajaan. Harap projek yang diumumkan itu dilaksanakan,” katanya.

Wee juga berjanji untuk memulakan semula usaha menghantar warga emas kurang berkemampuan menunaikan ibadah umrah setiap tahun seperti yang dilaksanakan ketika beliau menjadi wakil rakyat di situ sebelum tewas pada pilihan raya umum Mei tahun lepas.

“Komitmen saya, memang akan tunaikan usaha membantu warga emas yang kurang berkemampuan menunaikan umrah.

“Kita jangka tahun depan sebab tahun ini peruntukan ahli Parlimen belum ada lagi,” katanya.

Wee berkata, MCA dan BN perlu terus kerja keras kerana terdapat banyak isu melibatkan rakyat yang perlu ditangani..

“Rakyat hidup susah. Kawasan saya semua petani, nelayan. Mereka bekerja tengah panas, tetapi tidak dapat bantuan. Makan pun susah. Kerajaan tidak pandang.

“PRK datang kerajaan PH cakap hendak bantu, tetapi saya tidak tahulah. (Sudah kalah) sekarang semua sudah balik, mana hendak pandang rakyat di sini lagi,” katanya.