Polis cari saksi kes MPV ahli Parlimen Batu dibaling telur

Keadaan kenderaan P Prabakaran selepas dibaling telur. Kulit telur bertaburan di atas jalan dan cermin belakang MPV itu. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Polis sedang mencari saksi dalam siasatan kes kenderaan pelbagai guna (MPV) Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran dibaling telur pada Jumaat lalu.

“Kami meminta sesiapa saja yang mempunyai sebarang maklumat untuk tampil dan membantu siasatan kami,” kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Mazlan Lazim selepas menghadiri majlis perkahwinan beramai-ramai warga polis di Pusat Latihan Polis di Jalan Semarak hari ini.

Media melaporkan kenderaan putih Prabakaran dibaling telur ketika diparkir di belakang sebuah restoran di Jalan Ipoh kira-kira 11 malam Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, S Shanmugamoorthy mengesahkan satu laporan polis dibuat semalam.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan merosakkan harta benda awam.

“Tiada tangkapan setakat ini.”

P Prabakaran.

Rabu lalu, 14 badan bukan kerajaan dari Parlimen Batu menggesa ahli Parlimen termuda di Malaysia itu berundur untuk memberi laluan kepada bekas ahli Parlimen Batu, Tian Chua bertanding semula.

Ia susulan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 6 November lalu memutuskan Tian Chua layak bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 tahun lalu.

Naib presiden PKR itu dilarang bertanding pada PRU14 kerana denda RM2,000 yang dijatuhkan mahkamah atas kesalahan menghina seorang anggota polis.

Susulan itu, Pakatan Harapan menyokong pencalonan Prabakaran sebagai calon bebas yang memenangi kerusi itu tahun lalu, sebelum pelajar undang-undang itu menyertai PKR kemudian.

Sementara itu, Bernama memetik Mazlan sebagai berkata, polis akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berdekatan parkir kereta di Jalan Ipoh bagi membantu siasatan kes itu.

Katanya, polis tiada maklumat lanjut berhubung kes itu setakat ini.