PRK Tg Piai: Kaji selidik IDE salah lagi, kata penganalisis

Kamarul Zaman Yusoff

PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik mempersendakan kaji selidik sebuah badan pemikir dikaitkan dengan PKR, Institut Darul Ehsan (IDE) berkaitan Pilihan Raya Kecil Semenyih dan Tanjung Piai yang jauh meleset.

Kamarul Zaman Yusoff dari Universiti Utara Malaysia berkata, dua kaji selidik IDE mengandaikan Pakatan Harapan mendahului Barisan Nasional (BN) dengan 9% sokongan dalam PRK Semenyih dan Tanjung Piai, tetapi hakikatnya perikatan itu muncul sebagai pemenang.

Katanya, kaji selidik IDE pada 9 hingga 11 Nov lalu menunjukkan PH dapat mengalahkan BN di Tanjung Piai, namun sebaliknya berlaku apabila gabungan parti pemerintah itu kalah dengan majoriti 15,086 undi.

“Menggunakan sampel 1,200 pengundi, kaji selidik IDE pada 9-11 Nov 2019 menunjukkan PH mengatasi BN dengan 9%, bila PH mendapat 53% sokongan berbanding 44% sokongan untuk BN dalam PRK Tanjung Piai,” tulisnya di Facebook pada Sabtu.

Beliau berkata, menggunakan sampel 1,142 pengundi, kaji selidik IDE pada 31 Jan hingga 1 Feb lalu menunjukkan PH mendapat 46% sokongan berbanding 37% sokongan bagi BN pada PRK Semenyih.

“Malangnya, pada akhirnya BN yang muncul sebagai pemenang dalam PRK Semenyih dengan majoriti 1,914 undi

“Agaknya apa yang tidak kena dengan kaji selidik IDE ya?” soalnya.

Semalam, IDE dilaporkan berkata, PH mendahului BN lebih sembilan mata dalam PRK Tanjung Piai.

Berdasarkan kajian responden, 53% daripada 1,200 responden menyatakan mereka akan mengundi calon PH, Karmaine Sardine, manakala 44% lagi memilih calon BN, Wee Jeck Seng.

Kajian IDE tersebut turut menunjukkan baki 3% akan mengundi calon Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa), Badhrulhisham Abdul Aziz, calon Gerakan, Wendy Subramaniam dan dua calon bebas, iaitu Ang Chuan Lock serta Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Tetapi, keputusan rasmi yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya menunjukkan Wee menang dengan 25,466 undi, menewaskan Karmaine yang memperoleh 10,380 undi.