Putrajaya belum putus jual air mentah atau terawat kepada P Pinang

Kerajaan Pulau Pinang dan PBAPP bercadang membeli air mentah dari Sungai Perak, tetapi Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu mahu menjual air terawat kepada negeri itu.

GEORGE TOWN: Putrajaya belum memutuskan sama ada sumber air dari Sungai Perak akan dijual kepada Pulau Pinang sebagai air mentah atau air terawat bagi projek Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS).

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Jaseni Maidinsa berkata, pihaknya dan kerajaan negeri sentiasa mengingatkan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli mengenai kelulusan cadangan projek itu.

“Kami telah mengadakan mesyuarat pada September lepas dan Pulau Pinang mengulangi pendirian ingin (membeli) air mentah. Kami telah mengemukakan cadangan dan mereka akan menelitinya,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, PBAPP sudah menggesa kementerian itu mempercepatkan proses membuat keputusan kerana Fasa 1 SPRWTS perlu disiapkan menjelang 2025.

“Ketua Menteri (Pulau Pinang) (Chow Kon Yeow) telah menulis surat kepada menteri berkenaan (Dr Xavier Jayakumar) antara hujung bulan lepas ke awal bulan ini,” katanya sambil menambah PBAPP akan terus mengingatkan kerajaan pusat berhubung perkara itu.

Projek SPRWTS dicadangkan PBAPP untuk memanfaatkan sumber air kedua Pulau Pinang di Sungai Perak bagi memenuhi keperluan permintaan air pada masa depan untuk Pulau Pinang dan utara Perak sehingga 2025.

Konflik berlaku apabila kerajaan Pulau Pinang dan PBAPP bercadang membeli air mentah dari Sungai Perak, tetapi Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu mahu menjual air terawat.

Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli mempertimbangkan kedua-dua cadangan kerajaan negeri untuk menentukan pilihan terbaik yang akan menawarkan faedah bersama, termasuk pilihan ketiga iaitu “hibrid” yang menggabungkan pemindahan air mentah dan air terawat ke Pulau Pinang serta infrastruktur bekalan air Perak.

Terdahulu, Jaseni menghadiri kempen “Jom Kenali Sungai Kelian” anjuran Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk meningkatkan kesedaran mengenai penjagaan sumber air utama negeri sejak 1920-an.

Program itu diadakan pada 3, 10 dan 17 November di Tanjung Bungah melibatkan aktiviti pembersihan pantai dan lawatan ke Sungai Kelian.