Ramai ahli Parlimen pembangkang tak isytihar harta, kata timbalan speaker

Mohd Rashid Hasnon berkata, bukan mudah meminta ahli Parlimen mengisytihar harta mereka walaupun kerajaan mempunyai kuasa.

MACHANG: Masih ramai ahli Parlimen pembangkang, terutama daripada Barisan Nasional (BN) belum mengisytihar harta mereka walaupun prosesnya mudah, kata Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Mohd Rashid Hasnon.

Beliau berkata, situasi itu berbeza dengan ahli Parlimen kerajaan yang sudah lama berbuat demikian sejak dulu ketika bergelar pembangkang.

Katanya, pengisytiharan harta penting bagi mengelakkan berlaku pertelingkahan kepentingan, selain tuduhan palsu dan boleh meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap institusi politik.

“Proses ini senang saja. Dalam Parlimen sendiri juga ada wakil yang boleh menyokong. Kalau seseorang itu ada membeli rumah atau tanah, termasuk di luar negara, kita boleh isytiharkan sekali.

“Macam di Pulau Pinang kita sudah lantik dua firma untuk membuat pengauditan sahkan pengisytiharan harta,” katanya selepas program Bual Bicara Bersama Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat bertajuk “Reformasi Parlimen” di sini, hari ini.

Rashid berkata, antara isu paling hangat pengisytiharan harta adalah berkaitan 1MDB yang sedang dibicarakan di mahkamah melibatkan bekas perdana menteri, Najib Razak.

“Melalui pengisytiharan harta, perkara seperti ini dapat menghalang mana-mana institusi yang memberikan wang kepada negara dan pada masa sama, kita harus membanterasnya dengan penggubalan akta dan sebagainya.

“Ketika menjadi timbalan ketua menteri Pulau Pinang, saya melakukan penambahbaikan dan perkara sama juga dilakukan di Parlimen,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, bukan mudah meminta ahli Parlimen berbuat demikian walaupun kerajaan mempunyai kuasa.

Sementara itu, Rashid berkata, program bual bicara yang diadakan bersama institusi pendidikan tinggi mampu mendidik dan mendedahkan pelajar kepada institusi yang mengawal kerajaan, iaitu Parlimen, pentadbiran dan kehakiman.

“Mahasiswa perlu didedahkan perkara ini untuk pengetahuan mereka di masa depan.”