Rawatan pulih penagih dadah mungkin disumberluarkan, kata Muhyiddin

Muhyiddin Yassin berkata, terdapat 55 pusat pemulihan dadah persendirian berdaftar di seluruh negara ketika ini.

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin berkata, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sedang meneliti cadangan menyumberluarkan rawatan dan pemulihan penagih dadah.

Beliau berkata, langkah itu boleh mengurangkan beban kerajaan dan masyarakat setempat boleh memainkan peranan dalam pemulihan penagih dadah.

Katanya, terdapat 55 pusat pemulihan dadah persendirian berdaftar di seluruh negara ketika ini dan beliau menggalakkan badan bukan kerajaan menubuhkan pusat sedemikian.

“Masalah penyalahgunaan dadah masa kini semakin parah dan usia mereka yang mula menggunakan dadah juga kian muda sehinggakan terdapat remaja 12 tahun yang dikenal pasti mula terjebak.

“Cabaran penagihan dadah ini seharusnya dipikul bersama semua pihak. Kita semua perlu memainkan peranan dalam menangani masalah ini, terutamanya ibu bapa, komuniti setempat dan pertubuhan bukan kerajaan.

“Saya berharap lebih banyak syarikat serta individu terus membantu usaha ini selaras konsep tanggungjawab sosial korporat (CSR),” katanya ketika berucap dalam majlis makan malam amal Persatuan Pengasih malam ini.

Beliau berkata, penyumberluaran rawatan dan pemulihan boleh membantu penagih dadah menjalani pemulihan dengan lebih berkesan, mengekalkan kepulihan dan menyumbang kepada pembangunan modal insan negara.