Selagi janji manifesto tidak dipenuhi

Adalah penting supaya setiap janji manifesto yang telah dibuat sebelum pilihan raya umum lalu dipenuhi sepenuhnya dengan segera serta dengan tanpa sebarang alasan sekiranya mana-mana parti politik, termasuk parti politik berkuasa pada ketika ini ingin terus kekal berkuasa dalam negara kita.

Jika manifesto tidak dipenuhi dengan segera serta sering diberi pelbagai alasan untuk tidak dilaksanakan, rakyat akan menjadi tidak puas hati, marah serta mengambil langkah untuk memilih pihak lawan apabila tibanya musim pilihan raya sama ada pilihan raya kecil ataupun pilihan raya umum.

Peribahasa Melayu pun ada menyebut “kerbau dipegang tali hidungnya, manusia dipegang pada katanya (janjinya)”, bermaksud segala janji hendaklah ditepati dan ditunaikan. Tidak boleh wujud sebarang alasan untuk tidak memenuhi segala janji pilihan raya yang telah diberikan pada masa lalu.

Mana-mana ahli politik atau parti politik yang membuat janji melalui manifesto perlu menanggung segala risiko serta bertanggungjawab terhadap semua janji manis yang telah dibuat oleh mereka dalam manifesto. Amat menyedihkan sekiranya sebarang janji yang telah dibuat menerusi manifesto tidak dipenuhi dan ditepati oleh mana-mana ahli politik atau parti politik setelah mereka memenangi proses pilihan raya dan memegang kuasa pemerintahan.

Tindakan untuk tidak memenuhi atau menepati segala janji yang telah dibuat atau berlengah-lengah dalam memenuhi segala janji manis yang telah dibuat didalam sesebuah manifesto bukan sahaja akan mengundang rasa tidak puas hati dan marah di kalangan pengundi khususnya pengundi yang telah memberi undi kepada ahli politik serta parti politik yang terlibat malah pada masa yang sama juga menunjukkan dengan jelas sikap tidak hormat ahli politik serta parti politik yang terlibat terhadap para pengundi yang telah memberi kepercayaan dan undi kepada mereka berdasarkan janji-janji manis yang telah dibuat di dalam sesebuah manifesto pilihan raya.

Manifesto adalah sebuah dokumen bertulis yang mengandungi pelbagai jenis janji yang bakal dipenuhi sekiranya ahli politik atau parti politik yang membuat manifesto terbabit menang dalam sesebuah proses pilihan raya. Manifesto selalunya dibuat setiap kali tibanya musim pilihan raya sama ada pilihan raya umum ataupun kecil. Manifesto pilihan raya selalunya dibuat secara ringkas dengan menggunakan bahasa mudah untuk difahami oleh semua pihak. Dengan adanya manifesto, rakyat secara keseluruhannya akan mudah untuk memahami segala rancangan yang bakal dilakukan sekiranya ahli politik atau parti politik yang membuat manifesto ini terpilih atau menang dalam sesuatu proses pilihan raya.

Terdapat pelbagai jenis janji dalam manifesto. Kesemua janji ini selalunya dilihat sebagai “janji manis” sewaktu pilihan raya yang digunakan untuk memenangi hati rakyat terutamanya hati pengundi. Antara janji yang sering dilemparkan adalah yang berkaitan dengan janji untuk mengurangkan beban atau masalah kos sara hidup yang sedang dihadapi rakyat, janji untuk memperbaiki keadaan ekonomi, janji untuk memberi pelbagai jenis bantuan sosial, janji untuk meningkatkan tahap serta peluang pendidikan, janji untuk menyediakan sistem pengangkutan awam yang lebih baik dan macam-macam lagi. Pengundi selalunya akan memberi undi mereka kepada mana-mana ahli politik atau parti politik yang menawarkan janji terbaik melalui manifesto pilihan raya yang dikeluarkan oleh mereka.

Namun amat sedih untuk diketahui, status sesebuah manifesto pilihan raya hanyalah sekadar janji manis yang tidak terikat dengan undang-undang. Ini bermakna, ahli politik atau parti politik yang membuat manifesto ini tidak perlu menunaikan janji yang telah dibuat setelah mereka menang pilihan raya dan mendapat kuasa untuk memerintah negara. Jika kita masih ingat pada 2013, pihak Mahkamah Rayuan telah memutuskan bahawa sebuah manifesto pilihan raya tidak boleh dikuatkuasakan secara sah. Berikutan keputusan penting itu, pihak mahkamah membatalkan saman sivil yang difailkan oleh 2,020 ibu tunggal di Selangor berhubung pembayaran elaun RM100 kepada mereka seperti terkandung dalam manifesto pada pilihan raya umum 2008. Dalam kes terbabit, hakim bersetuju dengan hujahan bahawa manifesto bukan sebuah dokumen yang terikat di sisi undang-undang. Seseorang yang tidak berpuas hati dengan kegagalan memenuhi janji pilihan raya tidak boleh menuntut untuk menguatkuasakan manifesto tersebut.

Adalah penting supaya setiap manifesto yang dibuat diikat dengan undang-undang supaya tindakkan undang-undang boleh diambil terhadap mana-mana ahli politik atau parti politik yang tidak memenuhi, melanggari atau pun berlengah-lengah dalam memenuhi segala janji manifesto pilihan raya mereka. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) disarankan mengambil langkah yang proaktif dalam perkara ini. SPR perlu mewujudkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji isu manifesto untuk diberikan satu kuasa undang-undang terhadapnya. Pindaan boleh dilakukan melalui sebarang akta sedia ada seperti Akta Kesalahan Piliharaya 1954 bagi menyelesaikan perkara ini.

Sekiranya manifesto diikat dengan kuasa undang-undang, setiap ahli politik serta parti politik akan lebih mengambil serius terhadap manifesto mereka serta akan menyediakan sebuah manifesto yang lebih realistik serta berdasarkan fakta dan maklumat sahih di masa akan datang. Melalui langkah ini juga, hak dan kepentingan setiap pengundi dalam negara kita juga dapat dilindungi.

Muzaffar Syah Mallow adalah pensyarah kanan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.