Semak segera pelaksanaan agenda reformasi, kata Kit Siang susulan kekalahan PH di Tg Piai

Veteran DAP Lim Kit Siang dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.

PETALING JAYA: DAP hari ini menggesa satu semakan segera ke atas pelaksanaan pembaharuan yang dijanjikan oleh Pakatan Harapan (PH) sebelum pilihan raya umum Mei tahun lepas berikutan kekalahan besar calon gabungan politik itu dalam pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai semalam.

“Ia akan menjadi agenda pertama DAP dan Pakatan Harapan selepas PRK Tanjung Piai,” kata Lim Kit Siang dalam satu kenyataan.

Dalam PRK semalam, calon Barisan Nasional (BN) Wee Jeck Seng mengalahkan calon PH Karmaine Sardini dengan majoriti besar 15, 086 undi untuk merampas semula kerusi Parlimen itu.

Lim berkata, kekalahan itu menggambarkan kekecewaan dan perasaan tidak gembira pengundi, yang mewakili semua rakyat, terhadap kemajuan pembaharuan yang dilaksanakan sejak pilihan raya ke-14.

Kata beliau, ia terutamanya berkait pembaharuan yang dijanjikan dalam Buku Harapan dalam manifesto pilihan raya umum ke-14 PH.

Majlis Presiden PH telah menubuhkan sebuah jawatankuasa semakan khas untuk tujuan itu, katanya.

Bulan lepas, ahli Parlimen Iskandar Puteri itu mengakui bahawa agenda pembaharuan kerajaan PH gagal memenuhi jangkaan, walaupun pada masa sama beliau mempersalahkan skandal yang diwarisi daripada pentadbiran sebelum ini, termasuk isu 1MDB, sebagai punca kegagalan tersebut.

Dalam perkembangan sama, Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata, kekalahan PH tidak melemahkan semangat parti itu, sebaliknya menyemarakkan lagi tekadnya untuk terus bekerja kuat dalam memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

“Keputusan (PRK) ini menuntut kerajaan Pakatan Harapan agar terus memperbaiki pemerintahan supaya segala usaha dan inisiatif yang dilaksanakan dapat dirasai oleh rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Menteri pertahanan itu juga berkata, PH akan merapatkan barisan kepimpinan antara parti komponen gabungan kerajaan, selain mempergiatkan program penerangan kepada rakyat.