Tangani, bukan lengahkan kemelesetan ekonomi, pakar beritahu kerajaan

Perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China memberi kesan ke atas eksport negara perdagangan seperti Malaysia.

PETALING JAYA: Seorang pakar ekonomi berkata, langkah terbaru Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan had rizab berkanun bank perdagangan hanya akan melambatkan sesuatu yang tidak dapat dielakkan dalam menghadapi kemelesetan ekonomi yang sedang berlaku.

Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak berkata, paling baik, pengurangan rizab bank daripada 3.5 peratus kepada 3 peratus hanya akan mendorong sentimen pasaran yang lebih baik kerana ia bersifat pengembangan.

Bagaimanapun beliau tidak bersetuju dengan langkah BNM itu.

“Saya fikir kita akan mengalami kemelesetan ekonomi dan kerajaan harus membiarkan ia berlaku.

“Dasar seumpama itu hanya akan menangguhkan sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Lebih baik biarkan kemelesetan itu berlaku dan bertindak dengan memperkenalkan inisiatif rangsangan semasa proses pemulihan berjalan.”

Seorang lagi pakar ekonomi Carmelo Ferlito berkata, penuruhan had rizab berkanun itu pada dasarnya membolehkan bank menyimpan jumlah rizab lebih kecil supaya lebih banyak wang akan mengalir dalam sistem perbankan, sama ada melalui pertambahan aktiviti pinjaman atau pelaburan.

Langkah itu menyebabkan ING menurunkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia daripada 4.7 peratus kepada 4.5 peratus.

Barjoyai berkata, penurunan kadar rizab tersebut hanyalah satu langkah untuk “mencantikkan” angka, tetapi bermakna apa-apa kepada rakyat sama ada sasaran pertumbuhan KDNK tercapai atau sebaliknya.

Beliau berkata, kemelesetan ekonomi adalah perkara biasa dalam kitaran ekonomi dan lebih cepat Malaysia menghadapinya, maka lebih cepat pula ia akan pulih.

Ferlito, yang merupakan felo kanan di Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi berkata, langkah ING menurunkan unjuran kadar pertumbuhan KDNK negara kurang membimbangkan berbanding hakikat bahawa pertumbuhan KDNK Malaysia kini berpunca daripada penggunaan swasta.

“Kita mengalami kelembapan dalam pelaburan swasta dan eksport, hakikat bahawa KDNK kini disokong oleh penggunaan swasta adalah sesuatu yang tidak sihat kerana sisi teras ekonomi, iaitu pelaburan swasta dan eksport menurun.”

Beliau berkata, eksport negara berdepan masalah susulan perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China yang memberi kesan ke atas negara perdagangan seperti Malaysia.

Katanya, Putrajaya perlu memberi perhatian kepada pelaburan swasta kerana pelabur tempatan jelas menangguhkan pelaburan dalam perniagaan baru atau memperluas operasi sedia ada.

“Perang perdagangan yang berlaku boleh menjadi satu peluang untuk menarik pelaburan. Kerajaan harus memberi tumpuan kepada perkara ini.”

Beliau berkata, kerajaan juga perlu memperkenalkan inisiatif dan skim tertentu untuk merangsang sektor pembuatan dan menggalakkan industri supaya menambah nilai ke atas bahan mentah mereka.