Terlalu awal untuk sertai pakatan pilihan raya, kata PBS

Presiden PBS Maximus Ongkili berkata, parti pimpinannya mahukan kerjasama menang-menang.

PENAMPANG: Parti Bersatu Sabah (PBS) menolak cadangan untuk membentuk satu pakatan pilihan raya dengan parti lain di negeri ini dengan presidennya Maximus Ongkili berkata, masanya tidak sesuai untuk membuat kerjasama politik.

Beliau berkata, PBS kini memberi tumpuan kepada usaha memperkuat cawangannya terlebih dahulu sebelum memilih rakan kongsi pilihan raya.

“Saya terbuka kepada idea itu, tetapi perlu disebut bahawa masih terlalu awal untuk membentuk pakatan. Mungkin apabila tiba masanya kita akan bekerjasama dengan parti lain,” katanya selepas menutup kongres PBS di sini semalam.

Terdahulu Ongkili berkata, PBS memutuskan untuk menangguhkan rancangan membentuk gabungan politik yang dinamakan Gabungan Bersatu Sabah bersama-sama Parti Solidariti Tanah Airku (Star Sabah), Umno dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Pada kongres berkenaan, seorang perwakilan mencadangkan penubuhan satu pakatan politik dengan PBRS dan Star Sabah.

Ongkili berkata, apabila tiba masanya beliau mahukan satu kerjasama menang-menang kerana partinya bersedia berkongsi kerusi di kawasan di mana ia tidak mempunyai pengaruh yang kuat.

Bagaimanapun kata beliau, PBS tidak bersedia bekerjasama dengan parti yang bercadang untuk bertanding di semua kerusi.