Hotel RM4.95 semalam, tapi sanggupkah privasi diceroboh?

Setiap kali anda pergi bercuti, perkara penting yang akan menjadi keutamaan ialah peruntukan kewangan untuk percutian itu.

Ini kerana anda perlu merancang perbelanjaan dengan baik supaya ia tidak melebihi bajet yang ditetapkan.

Dan jika anda membuat tempahan hotel sudah pasti anda akan mencari yang murah tetapi menjamin keselesaan untuk anda.

Di Jepun, anda akan menjumpai hotel yang memenuhi spesifikasi yang anda inginkan, namun mempunyai syarat wajib yang ditetapkan.

Ia berharga 130 yen atau RM4.95 satu malam, syaratnya anda perlu membenarkan pihak hotel membuat liputan terhadap apa yang anda lakukan di dalam bilik tersebut.

Ini bermakna pengguna Youtube dapat melihat secara langsung tentang setiap aktiviti anda. Sanggupkah anda?

Menurut wartawan SoraNews24 yang membuat kunjungan ke hotel tersebut mendapati rekaan biliknya berada dalam keadaan yang baik seperti hotel lain di Jepun.

Turut difahamkan kunjungan itu juga bagi melihat sendiri kesahihan tentang harga dan syarat yang dikenakan kepada para pelanggan.

Setelah ditemuramah, pemilik hotel itu bertindak menawarkan harga yang murah kerana bilik tersebut jarang disewa.

Jadi bagi mengelakkan sebarang kerugian, pihak hotel sanggup menurunkan harga yang sangat rendah kepada pelanggan.

Jika anda tidak kisah privasi anda dicerobohi, mungkin ia tidak mendatangkan masalah besar kepada anda.

Oleh itu, adakah anda akan memilih hotel ini sebagai tempat penginapan sekiranya berkunjung ke negara Jepun?

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, anda boleh menonton video secara “live” di Youtube One Dollar Hotel.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]