Ahmad Afif pertahan gelaran ‘Raja Litar’

Juara Kategori CP150, Md Akid Aziz (tengah) bergambar dengan Ahmad Afif Amran (kiri) dan Md Aiman Tahiruddin pada Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas di Litar Sementara Dataran Seri Jempol pada Ahad. (Gambar Bernama)

JEMPOL: Pelumba Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing, Ahmad Afif Amran mempertahankan gelaran “Raja Litar” bagi kategori CP150, selepas berakhir pusingan kesembilan Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas 2019 di Dataran Seri Jempol pada Ahad.

Pelumba berusia 24 tahun itu berjaya mengekalkan gelaran tersebut, selepas menduduki tempat kedua dalam saingan hari ini dan mengumpul keseluruhan 147 mata, sekali gus kedudukannya itu tidak dapat digugat pelumba lain dengan berbaki satu perlumbaan musim ini di Litar Sepang pada 7 dan 8 Disember ini.

Saingan pusingan ke-10 di Sepang itu bakal menyaksikan perebutan bagi kedudukan di tempat kedua antara bekas juara kategori CP115 musim 2017, Md Akid Aziz daripada pasukan Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor yang mengutip 112 mata dan pelumba Idemitsu Honda Yuzy Racing, Azroy Hakeem Anuar yang mengumpul 102 mata.

Ketika ditemui selepas perlumbaan, Afif amat berpuas hati dengan kejayaan itu kerana tidak membuat persiapan rapi bagi menghadapi saingan musim ini.

“Sebenarnya, saya tidak membuat persiapan yang sebaiknya musim ini, namun hasil kerja keras semua dalam pasukan, saya berjaya meraih kejuaraan ini,” kata pelumba kelahiran Terengganu itu.

Dalam perlumbaan 20 pusingan itu, Afif menamatkan saingan di tempat kedua dengan catatan 15 minit 06.511 saat di belakang Akid yang mencatat masa 15:05.564s.

Rakan sepasukan Afif, Md Aiman Thiruddin di tempat ketiga dengan catatan masa 15:07.494s. Hadiah kepada pemenang disampaikan Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun.

Sementara itu, dalam kategori CP115, pendahulu Ahmad Syukran Aizat Md Yusoff daripada pasukan Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing mempamerkan tunggangan cemerlang, apabila menjarakkan saingan dengan pelumba lain sehingga ke garisan penamat.

Beliau berjaya menamatkan perlumbaan 15 pusingan dengan catatan 11:59.248s, menewaskan pelumba Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor, Md Syafiq Rosli (12:00.230s), manakala pelumba Motul Yamaha YY Pang Racing, Md Adib Rosley di tempat ketiga dengan masa 12:01.476s.

Abdullah Qayyum Abd Razak (AFB TECH Racing) pula mengungguli perlumbaan 12 pusingan kategori Wira KBS selepas mencatatkan masa 9:44.355s, diikuti Awal M Al Fikri Yusni daripada Petronas Sprinta Yamaha-31 Racing di tempat kedua (9:44.574s) dan pelumba Wiramuda V-Fiertech Academy Racing, Akif Hakimi Zainuddin di kedudukan ketiga (9:45.393s)