Caj penggunaan ruang udara akan dikaji semula, kata Loke

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook meminta Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia mengkaji semula semua caj dan fi semasanya, termasuk caj penggunaan ruang udara.

PUTRAJAYA: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) perlu mengkaji semula semua caj dan fi semasanya, termasuk caj penggunaan ruang udara, bagi meningkatkan pendapatannya dan bebas dari segi kewangan, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata, caj penggunaan ruang udara semasa adalah rendah dan tidak dikaji semula sejak 2006.

“Satu daripada sumber pendapatan utama bagi mana-mana pihak berkuasa penerbangan di dunia ini ialah caj penggunaan ruang udara.

“Syarikat penerbangan yang menggunakan ruang udara kita perlu membayar caj penerbangan navigasi udara. Jadi kita melihat ini sebagai sumber pendapatan,” kata Loke pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, ini adalah satu daripada saranan langkah pemulihan berikutan tindakan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat menurunkan penyenaraian CAAM kepada Kategori 2 minggu lepas.

“Semakan semula caj penggunaan ruang udara berpotensi meningkatkan pendapatan CAAM dan akan membantu kita menangani isu yang dibangkitkan oleh FAA, memandangkan isu yang dibangkitkan mereka, termasuk kita tidak membayar pegawai pemeriksa secukupnya,” katanya.

Loke berkata, CAAM kini beroperasi dengan peruntukan belanjawan sebanyak RM350 juta dan pendapatan kira-kira RM120 juta setahun.

Beliau berkata, CAAM perlu meningkatkan pendapatanya memandangkan FAA mendapati pakej imbuhan Malaysia tidak cukup menarik untuk menarik dan mengekalkan pekerja penerbangan.

Katanya, ini disebabkan CAAM bergantung kepada dana kerajaan, yang bermakna skim bayaran adalah sama dengan skala gaji penjawat awam.

Walaupun CAAM dikorporatkan tahun lepas, namun ia tidak bebas dari segi kewangan, katanya.

Loke berkata, kerajaan perlu memberikan notis kepada syarikat penerbangan domestik dan antarabangsa berkaitan kenaikan caj pengendalian penerbangan udara tidak lama lagi.

Maklumat lanjut mengenai peningkatan kos dan caj akan dimaklumkan pada sidang media yang akan diadakan bulan depan.