England pasukan pilihan Euro 2020 selepas benam Kosovo 4-0

Harry Kane memimpin England membenam Kosovo 4-0 dalam saingan kelayakan Euro 2020 awal pagi tadi. (Gambar AFP)

PRISTINA: England meneruskan rentak cemerlangnya selepas dengan mudah membenam Kosovo 4-0 dalam saingan kelayakan Euro 2020 awal pagi tadi.

The Three Lions yang terlebih dahulu mengesahkan tempat ke pusingan akhir kejohanan itu selepas membelasah Montenegro 7-0 Jumaat lalu, kini dilihat sebagai salah satu daripada kelompok enam pasukan pilihan Euro 2020.

Pasukan itu menamatkan saingan di kedudukan teratas Kumpulan A dengan jumlah 21 mata, diikuti Republik Czech yang tewas 0-1 kepada Bulgaria dengan 15 mata.

England yang menurunkan barisan kedua dalam perlawanan itu memperoleh jaringan pembukaan menerusi Harry Winks pada minit ke-32, tetapi gol lewat oleh Harry Kane, Marcus Rashford dan Mason Mount memastikan satu lagi kemenangan besar dan meletakkan pasukan itu menghimpunkan jumlah 37 gol daripada lapan perlawanan kelayakan.

Walaupun gembira dengan gaya permainan menyerang pasukan, pengendali England Gareth Southgate menegaskan pasukannya perlu memantapkan lagi bahagian pertahanan.

“Ia perlawanan yang sengit dan ujian bagus buat kami. Keadaan padang menyukarkan, pemain banyak tergelincir dan hantaran tidak menjadi.

“Kami memberikan Kosovo banyak peluang. Ini akan menjadi masalah dalam perlawanan akan datang. Cara permainan perlu dilihat kembali, terlalu banyak pemain tidak dijaga dalam kotak penalti,” katanya.