Gondol bukit: SAM bimbang tanah runtuh di P Pinang akan berulang

Gambar menunjukkan kerja-kerja tanah di Mount Erskine, diambil dari sebuah pangsapuri yang terletak berhampiran. (Gambar SAM)

GEORGE TOWN: Sahabat Alam Malaysia (SAM) memberi amaran kegiatan penggondolan bukit berdekatan Tanjung Tokong menimbulkan bahaya kepada sebuah pangsapuri di kawasan itu, dan bimbang akang berulangnya kejadian tanah runtuh yang membawa maut dua tahun lalu.

Kumpulan alam sekitar itu berkata tarahan bukit Mount Erskine berlaku di tanah kerajaan negeri di mana kerja-kerja mitigasi dilaporkan sedang berjalan.

“Kami juga amat bimbang dengan banyak bahagian cerun itu yang kini sudah terdedah, dengan musim hujan sekarang, hakisan tanah yang serius akan berlaku, ini akan menyumbang kepada tanah runtuh dan banjir kilat di kawasan itu,” kata Presiden Meenakshi Raman.

“Kami juga amat bimbang akan berulangnya tragedi tanah runtuh Tanjung Bungah dan Bukit Kukus di Paya Terubong yang membawa kepada kematian pekerja yang bekerja di kawasan itu,” katanya dalam kenyataan.

Meenakshi menggesa pihak berkuasa, termasuk kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang menjelaskan kerja-kerja yang sedang berjalan.

Beliau difahamkan kerja-kerja itu bermula seawal September 2018, berdasarkan maklumat Penang Hills Watch (PHW).

“Kami difahamkan PHW dimaklumkan ‘kerja mitigasi’ dijalankan di tapak itu, di mana tanahnya dimiliki oleh kerajaan negeri.

“SAM menggesa pihak berkuasa dan MBPP menjelaskan apakah ‘kerja mitigasi’ ini dan kenapa cerun yang curam itu dipotong dan dibersihkan?”

Beliau berkata dasar kerajaan negeri mengikut Pelan Struktur Pulau Pinang tidak membenarkan kerja-kerja tanah di atas tanah melebihi 250 kaki atau cerun yang melebihi kecerunan 25 darjah.

“Memandangkan ini tanah awam, kami amat bimbang dengan kerja pemotongan dan pembersihan bukit yang sedang berjalan,” katanya.

FMT sedang menghubungi Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari dan MBPP untuk mengulas perkara tersebut.