Hakim tolak permohonan Zahid cabar akta SPRM, cegah wang haram

Ahmad Zahid Hamidi ketika tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Ahmad Zahid Hamidi untuk mencabar Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) yang digunakan untuk mengenakan pertuduhan ke atas beliau.

Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah berkata, permohonan presiden Umno itu yang merujuk pada Seksyen 4(1)(a) Akta SPRM dan Seksyen 71 AMLATFPUAA adalah tindakan pramatang kerana perbicaraan terhadapnya masih belum bermula.

“Cabaran pada ketika ini adalah pramatang di mana ia secara andaian menganggap kebolehterimaan dokumen yang dibentangkan oleh pendakwaan,” kata Collin semasa menyampaikan keputusan penghakimannya.

“Ia bagi mendapatkan mendapatkan perintah bagi pelucuthakan harta, sekiranya berpuas hati bahawa harta diperoleh itu hasil daripada atau berkaitan dengan suatu kesalahan di bawah akta ini.”

Seksyen 71 AMLATFPUAA pula menyatakan, “jika pendakwa raya atau mana-mana agensi penguat kuasa mendapatkan apa-apa dokumen atau keterangan lain dalam perjalanan kuasanya di bawah akta ini, dokumen atau salinan hendaklah boleh diterima sebagai keterangan dalam mana-mana prosiding bawah akta ini.”

Collin berkata, sebarang isu berbangkit atau ketidakpuasan hati pasukan pembelaan yang mewakili Zahid berkenaan bukti, boleh dikemukakan semasa perbicaraan berlangsung.

Selepas mengumumkan keputusannya, Collin mengarahkan prosiding perbicaraan Zahid yang berdepan 47 pertuduhan melibatkan jutaan ringgit dana Yayasan Akal Budi diteruskan dan beberapa saksi akan dipanggil hari ini.

Pada 22 Mac lalu, Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran memaklumkan mahkamah, pendakwaan akan memanggil 20 saksi untuk memberi keterangan dalam perbicaraan itu.