Halang polis masuk kampus, perusuh Hong Kong bakar pintu utama universiti

Penunjuk perasaan membakar pintu Universiti Politeknik Hong Kong (PolyU) bagi menghalang polis memasuki kampus itu. (Gambar AP)

HONG KONG: Penunjuk perasaan menggali lubang di pintu masuk utama kampus Universiti Politeknik Hong Kong (PolyU) sebelum menyalakan api bagi menghalang dirempuh polis.

Tindakan itu sebagai tindak balas terhadap amaran yang diberikan pihak berkuasa bahawa peluru hidup akan digunakan jika mereka diserang perusuh dengan senjata berbahaya.

Keganasan itu melebarkan fasa baru bahaya dalam tempoh krisis hampir enam bulan, yang menyaksikan pada hujung minggu lalu tentera China turun membersihkan jalanan.

China sebelum ini memberi amaran tidak akan bertolak ansur dan akan campur tangan secara langsung untuk menghentikan rusuhan.

Beberapa letupan kuat berlaku menjelang subuh hari ini, sebelum api membakar pintu masuk utama ke PolyU ketika polis cuba memasuki kampus namun dihalang perusuh.

Menurut polis, mereka melepaskan tiga tembakan peluru hidup awal pagi tadi berhampiran universiti berkenaan, tetapi tiada yang tercedera.

Pertempuran sengit tercetus semalam dengan perusuh menggunakan bom petrol dan dibalas dengan gas pemedih mata oleh polis. Dalam kejadian itu, seorang polis cedera di kaki dipanah oleh perusuh.

Perusuh turut menggunakan payung untuk melindungi diri daripada tembakan meriam air dan melemparkan koktel molotov ke arah kenderaan perisai menyebabkan ia terbakar.

Polis mengisytiharkan kampus sebagai lokasi rusuhan dan menyekat pintu keluar.

Tunjuk perasaan di Hong Kong bermula dengan cadangan rang undang-undang ekstradisi yang membolehkan penduduk bandar raya itu dibawa ke tanah besar China untuk dibicarakan, namun kemudiannya dibatalkan.

Bantahan itu bagaimanapun berkembang kepada tuntutan demokrasi yang lebih luas dan siasatan bebas terhadap aduan mengenai kekerasan yang dilakukan oleh polis.

Protes anti-kerajaan yang berlarutan berbulan-bulan itu menyebabkan tanah bekas jajahan British tersebut berada dalam krisis terbesar dekad ini, tanpa sebarang tanda menunjukkan ia akan berakhir.