Harimau Malaya jangan main sambil lewa, kata bekas pemain negara

Harimau Malaya akan bertemu Indonesia dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Bukit Jalil malam esok. (Gambar Bernama)

KOTA BHARU: Pemain kebangsaan diingatkan tidak bermain sambil lewa menjelang perlawanan menentang Indonesia dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Bukit Jalil malam esok.

Bekas pemain negara era-90an Mohd Hashim Mustapha, 53, berkata, penyokong sudah tentu meletakkan harapan tinggi ke atas skuad Harimau Malaya kerana pada perlawanan September lepas menentang Garuda di tempat lawan, pasukan kebangsaan menang dengan jaringan 3-2.

Baru-baru ini pula, skuad negara mencatat kemenangan 2-1 ke atas Thailand.

“Jangan ambil kira atau ukuran keputusan pada perlawanan sebelum ini dan keputusan menewaskan pasukan Thailand tiga hari lalu di Stadium Bukit Jalil.

“Jangan bermain sehingga terjadi keputusan yang mengecewakan sedangkan peminat meletak harapan tinggi kepada pasukan negara untuk memperoleh mata di depan mereka (tempat sendiri),” katanya di sini hari ini.

Mohd Hashim berkata, keyakinan sahaja tidak mencukupi sebaliknya pemain perlu bekerja lebih keras bagi memastikan kemenangan milik mereka.

“Keyakinan itu bagus, namun perlu datang dengan kerja keras, semangat dan tumpuan serta kurangkan melakukan kesilapan yang boleh memberikan kelebihan kepada pemain pasukan lawan.

“Perlu ada tumpuan dan hala tuju untuk memenangi perlawanan malam esok dan jangan jadikan harapan penyokong sebagai tekanan berat sehingga hilang tumpuan,” katanya.

Beliau berkata, pemain negara juga perlu berhati-hati dengan corak permainan pasukan Indonesia yang dilihat bermain secara pantas dan agresif.

“Pemain perlu bersabar dengan permainan psikologi yang digunakan pihak lawan, selain penyokong diharap tidak melakukan tindakan yang boleh mencemar imej bola sepak negara,” katanya.

Pasukan negara ketika ini berada di kedudukan keempat daripada lima pasukan dengan memperolehi enam mata selepas empat perlawanan hasil daripada dua kemenangan dan dua kekalahan.

Pasukan negara diundi bersama-sama empat pasukan lain iaitu Vietnam, Thailand, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Indonesia dalam Kumpulan G kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.