Kalah satu, dua kerusi tidak perlu bubar Parlimen, kata Anwar

Presiden PKR Anwar berkata, kerajaan PH mempunyai mandat untuk terus berkhidmat kepada rakyat.

KUALA LUMPUR: Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata, tiada keperluan mendesak bagi kerajaan membubarkan Parlimen selepas kekalahan calon Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai, Sabtu lalu.

Ini susulan desakan Ketua Pembangkang Ismail Sabri Yaakob supaya kerajaan PH membubarkan Parlimen kerana telah hilang kepercayaan rakyat.

“Satu kekalahan, satu, dua kerusi tidak akan menyebabkan kerajaan harus undur,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Semalam, Ismail dalam satu kenyataan berkata, PH telah ditolak oleh rakyat sebanyak empat kali berturut-turut. Ini termasuk di Cameron Highlands, diikuti Semenyih dan Rantau.

Beliau berkata, majoriti kekalahan PH meningkat daripada lebih 3,000 di Cameron Highlands kepada lebih 4,000 di Semenyih dan Rantau sehingga memuncak kepada lebih 15,000 undi di Tanjung Piai.

Justeru katanya, mesej rakyat sangat jelas bahawa kerajaan PH tidak lagi memiliki kepercayaan mereka.

Anwar bagaimanapun berkata, kerajaan sedar bahawa terdapat beberapa tindakan segera yang perlu diambil untuk memulihkan keyakinan rakyat dan akan meneruskan khidmat seperti yang dimandatkan.

“Kerajaan ada mandat untuk terus berkhidmat untuk rakyat,” kata beliau.

Ketika ditanya berhubung perkembangan yang menyaksikan pengundi Cina di Tanjung Piai yang beralih kepada Barisan Nasional (BN), Anwar berkata, pola pengundian di situ juga melibatkan peralihan sokongan pengundi Melayu.

“Ada perubahan undi Cina dan Melayu juga. Saya tidak percaya ada isu perkauman dan saya rasa kita perlu faham kekecewaan rakyat pelbagai kaum.

“Mesejnya jelas kepada kita untuk ambil perhatian.” katanya.

Pada Sabtu, calon MCA-BN Wee Jeck Seng memenangi PRK Tanjung Piai dengan majoriti 15,086 undi dalam persaingan enam penjuru dengan calon PPBM-PH Karmaine Sardini, Wendy Subramaniam (Gerakan), Badhrulhisham Abdul Aziz (Berjasa) dan calon bebas Faridah Aryani Abd Ghaffar dan Ang Chuan Lock.

Pada pilihan raya umum Mei tahun lepas, Wee yang sebelum ini mewakili Parlimen Tanjung Piai selama dua penggal, tewas dengan majoriti kecil 524 undi di tangan calon PPBM-PH Dr Md Farid Md Rafik.

Tanjung Piai merupakan kerusi campuran dengan 53,528 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 57% pengundi Melayu, 41.66% Cina dan 1% India.

Ini adalah PRK kesembilan selepas PH mengambil alih kerajaan persekutuan setelah memenangi pilihan raya umum ke-14 tahun lepas.

Dalam pada itu, pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi ketika ditemui hari ini berkata, desakan supaya kerajaan membubarkan Parlimen bukan hanya datang daripada ketua pembangkang, malah merupakan pendirian semua ahli Parlimen pembangkang.

Bagaimanapun katanya, keputusan berhubung desakan itu terserah kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Bagi kami apa yang berlaku di Tanjung Piai ini adalah satu isyarat dan ia harus difahami dengan jelas,” katanya.