Kerajaan Pahang bentang belanjawan lebihan RM739.89 juta

Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail membentangkan belanjawan lebihan kali ke-17 sejak 1992 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang hari ini. (Gambar Bernama)

KUANTAN: Kerajaan negeri Pahang hari ini membentangkan Belanjawan 2020 dengan lebihan RM4.13 juta, iaitu belanjawan lebihan ke-17 negeri sejak 1992.

Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail berkata, belanjawan itu menyediakan peruntukan berjumlah RM739.89 juta bagi perbelanjaan mengurus dan RM120.75 juta bagi perbelanjaan pembangunan.

“Belanjawan 2020 adalah belanjawan pengembangan dengan memberi tumpuan kepada perbelanjaan infrastruktur dan peningkatan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM22.70 juta daripada yang diperuntukkan tahun lalu.

“Bagi tahun 2020, kerajaan negeri dijangka mengutip hasil sebanyak RM744.02 juta, meningkat RM40.22 juta atau 5.71 peratus berbanding anggaran tahun 2019,” katanya semasa membentangkan belanjawan itu pada persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.

Wan Rosdy berkata, kutipan hasil negeri dijangka meningkat melalui pelaksanaan langkah lebih bersepadu bagi kutipan cukai, premium dan hasil baru bagi hasil tanah, hutan dan duti hiburan.

Menurut Wan Rosdy hasil tanah dijangka memberi kutipan paling tinggi iaitu RM417.79 juta, diikuti hasil perhutanan (RM165.50 juta), hasil air (RM3.77 juta), geran kerajaan Persekutuan (RM94.2 juta) dan lain-lain hasil (RM62.76 juta).

Beliau memaklumkan kerajaan negeri menerima RM15 juta bagi duti hiburan setakat 15 Nov lalu, dan jumlah ini dijangka meningkat pada 2020 kerana kerajaan negeri mensyaratkan duti itu dijelaskan terlebih dahulu sebelum pihak berkuasa tempatan (PBT) mengeluarkan lesen hiburan.

“Kerajaan negeri akan sentiasa menitikberatkan keseimbangan antara keadaan ekonomi dan kesejahteraan rakyat serta akan terus berusaha meningkatkan kutipan hasil dan mengamalkan perbelanjaan berhemah untuk mengelakkan defisit fiskal.

“Sehubungan itu, Belanjawan 2020 akan memberi fokus kepada tiga strategi utama, iaitu melonjak ekonomi ke arah negeri berdikari, memperkasa perkhidmatan dan modal insan serta kesejahteraan kehidupan rakyat,” katanya.

Wan Rosdy berkata, antara inisiatif yang dilakukan kerajaan negeri bagi meningkatkan hasil dengan mengurangkan ketirisan ialah menubuhkan beberapa unit khas di bawah pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri iaitu Unit Kutipan Balik Hasil, Unit Petugas Khas Hasil, dan Unit Tender Khas.

Wan Rosdy juga berkata, Pahang menerima hasil pengeluaran pasir melalui Lesen Pendudukan Sementara Bercantum Permit sebanyak RM4 juta pada bulan pertama penubuhan Pengurusan Pasir Pahang Berhad (PPPB), dengan pengeluaran pasir dijangka menyumbang hasil RM26 juta tahun depan.

“Penubuhan Daerah Kecil Gebeng yang berkeluasan 20,297 hektar dan Daerah Kecil Genting seluas 6,668 hektar juga akan menambah pendapatan langsung kepada kerajaan negeri melalui perubahan semakan pindaan kadar cukai tanah.

“Pada tahun 2020, dianggarkan Daerah Kecil Gebeng akan menyumbang hasil sebanyak RM200 juta setahun, manakala Daerah Kecil Genting akan menyumbang hasil RM2 juta,” katanya.

Bagi sektor pertanian pula, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM9.23 juta bagi memartabatkan industri pertanian, selain merancang 414 kursus dan latihan untuk 8,280 petani di seluruh Pahang pada tahun hadapan serta meneruskan pembangunan di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) negeri.

Selain itu, beliau juga memaklumkan kerajaan negeri akan membentangkan kertas penubuhan Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands (PKCH) bagi merancang pembangunan dan bertindak sebagai ejen pelaburan daerah tersebut, yang dilakukan secara lestari bagi mengekalkan kelestarian kawasan itu.

Wan Rosdy juga memaklumkan Pahang akan meneruskan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) sedia ada dengan memperuntukkan RM7 juta tahun depan, dan sekiranya kerajaan Persekutuan tidak bersetuju, mereka akan menubuhkan semula Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) bermula 1 Jan depan.