Laporan: Lebih banyak rumah kediaman akan dijual tahun ini

Menurut laporan berkaitan hartanah kediaman yang dikeluarkan hari ini, sebanyak 204,840 unit rumah kediaman bernilai lebih RM70 bilion dijangka dijual tahun ini.

GEORGE TOWN: Sebuah agensi hartanah hari ini mengunjurkan pasaran hartanah kediaman akan berkembang baik tahun ini dengan jangkaan jualan mencecah RM71 bilion menjelang akhir tahun, angka tertinggi sejak 2016.

Raine & Horne International Zaki + Partners (RHIZP) berkata, jumlah hartanah yang dijangka dijual adalah sebanyak 204,840 unit, berbanding 197,385 unit atau RM68.7 bilion tahun lepas, iaitu peningkatan sebanyak 3.77 peratus.

Rakan kongsi kanan RHIZP Michael Geh berkata, peningkatan ini berpunca daripada pembinaan rumah baru, yang dijangka berkembang antara 10 dan 11 peratus.

“Pasaran hartanah kediaman tahun ini dijangka merekodkan urusniaga tertinggi dalam tempoh empat tahun sejak 2016,” katanya dalam Laporan Pasaran Hartanah Kediaman Malaysia dan Jangkaan Pencapaian 2020 yang dikeluarkan hari ini.

Geh yang mengetuai Persekutuan Hartanah Antarabangsa cawangan Malaysia juga berkata, pasaran hartanah sedia dimilki atau pasaran sekunder akan menyaksikan peningkatan antara dua hingga tiga peratus.

Pengarah urusan RHIZP Ho Sek Chuen berkata, perkembangan pasaran hartanah kediaman adalah disebabkan oleh kesediaan unit lebih kecil dan mampu milik, selain kempen pemilikan rumah anjuran kerajaan.

“Kesan pembelian asing ke atas hartanah kediamaan bernilai lebih RM600,000 hanya akan dikesan pada 2020,” katanya.

Berkait lebihan hartanah tidak terjual Geh berkata, banyak daripada hartanah tidak terjual terletak di lokasi kurang menarik dengan jaringan perhubungan yang tidak baik.

“Saya tidak akan terperanjat sekiranya ia kekal tidak terjual selama dua tahun lagi,” katanya kepada FMT.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng baru-baru ini memaklumkan penurunan had harga ambang hartanah di bangunan tinggi dalam bandar yang boleh dibeli oleh orang asing daripada RM1 juta kepada RM600,000.

Langkah tersebut mendapat sokongan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan yang berkata, ia akan membantu pemaju melepaskan rumah tidak terjual dan membuat pelaburan semula dalam pembinaan rumah mampu milik.