Nazri dakwa kurang dana kepada TAR UC punca orang Cina undi BN

Bekas setiusaha agung BN, Nazri Abdul Aziz.

KUALA LUMPUR: Bekas setiusaha agung Barisan Nasional (BN), Nazri Abdul Aziz berkata sokongan pengundi Cina terhadap parti komponen itu pada pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai, Sabtu lalu berpunca daripada Pakatan Harapan (PH) yang gagal memberi peruntukan kepada Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC) milik MCA.

Nazri yang juga ahli Parlimen Padang Rengas berkata, kemungkinan “trend” pengundi Cina beralih kepada BN akan berterusan sehingga PRU15 jika PH tidak memenuhi janji mereka.

“Paling penting, TAR UC, anda beri RM5 juta (pada 2019) dan sekarang anda kurangkan kepada RM1 juta. Adakah itu adil?

“Semasa BN, kami beri RM35 juta untuk pendidikan kepada pelajar Cina,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Sebelum ini, TAR UC menerima RM5.5 juta untuk pembangunan, yang kini dikurangkan kepada RM1 juta.

Presiden MCA, Wee Ka Siong berkata keputusan mengurangkan dana untuk TAR UC adalah tidak adil kepada 28,000 pelajarnya yang berasal dari keluarga miskin.

“Semasa kerajaan terdahulu, selama 50 tahun, kami menerima RM1.35 bilion dalam geran yang sepadan. Tetapi sekarang tidak satu sen diberikan kepada TAR UC,” katanya.

Sabtu lalu, calon MCA Wee Jeck Seng memenangi PRK Tanjung Piai dengan lebih 15,000 undi dalam pertarungan enam penjuru melawan Karmaine Sardini, Wendy Subramaniam (Gerakan), Badhrulhisham Abdul Aziz (Berjasa) dan calon bebas Faridah Aryani Abd Ghaffar dan Ang Chuan Lock.

Ini adalah PRK kesembilan yang diadakan selepas PH mengambil alih kerajaan persekutuan.

Dalam perkembangan lain, Nazri berkata permintaan kerajaan supaya MCA melepaskan kawalan ke atas institusi itu menunjukkan PH sedang mempolitikkan pendidikan.

“Dan inilah sebab utama mengapa orang Cina tidak menyokong mereka.”

Terdahulu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng meminta lembaga pemegang amanah Universiti Tunku Abdul Rahman (Utar) dan TAR UC melepaskan jawatan mereka jika mereka mahukan lebih banyak pembiayaan kerajaan.