Penunjuk perasaan kembali kuasai jambatan ke-3 di Baghdad

Seorang penunjuk perasaan berayun menggunakan kabel di bawah jambatan di Baghdad semalam. (Gambar AP)

BAGHDAD: Penunjuk perasaan Iraq kembali menguasai jambatan ketiga menuju ke Zon Hijau di sini semalam, mengambil kedudukan lebih kukuh dalam gelombang rusuhan antikerajaan terbesar disaksikan dalam beberapa dekad.

Pasukan keselamatan menggunakan gas pemedih mata dan bom stun untuk menghalang penunjuk perasaan dari merentasi Jambatan Ahrar di tengah Baghdad, sebahagian daripada percubaan selama seminggu untuk mengganggu trafik dan tiba di Zon Hijau yang menempatkan kementerian kerajaan dan kedutaan.

Para penunjuk perasaan membuat sekatan jambatan sementara pasukan keselamatan mengambil kedudukan di sebalik dinding letupan yang dipasang untuk mencegah penunjuk perasaan daripada bergerak ke seberang.

Penunjuk perasaan yang terkena gas pemedih mata dipindahkan dengan menggunakan tuk-tuk, kata seorang jurukamera Reuters.

Pada Sabtu, para penunjuk perasaan Iraq memasuki semula sebahagian daripada Jambatan Sinak dan sebuah bangunan berdekatan, tertinggi di Baghdad, yang pasukan keselamatan telah mengusir mereka sejak seminggu lalu.

Mereka telah menguasai jambatan ketiga, Jamhuriya sejak 25 Okt lalu.

Lebih 300 orang terbunuh dalam rusuhan besar-besaran yang berlaku di Baghdad dan selatan Iraq, bermula awal bulan lalu, kejadian terbesar sejak kejatuhan Saddam Hussein pada 2003.

Para penunjuk perasaan menuntut peletakan jawatan kelas politik yang dilihat sebagai korup dan menjaga kepentingan asing.

Di Basra, berpuluh-puluh penunjuk perasaan membakar tayar dan menyekat beberapa jalan, sebelum polis berjaya memulihkan kawalan dan membuka semula laluan, kata polis.

Rusuhan telah menghancurkan suasana tenang yang menyusul setelah IS ditewaskan pada 2017.