Portugal sah tempat ke Euro 2020

Bintang Portugal Christiano Ronaldo menjaringkan gol kedua negaranya dan ke-99 peribadi untuk mengalahkan Luxembourg 2-0 sekali gus menempah tempat ke pusingan akhir Euro 2020 di Rom, Jun tahun depan. (Gambar Reuters)

PARIS: Juara bertahan, Portugal mengesahkan tempat ke pusingan akhir selepas membenam Luxembourg 2-0 dalam saingan kelayakan Euro 2020 awal pagi tadi.

Pemain tengah, Bruno Fernandes meledak gol pembukaan pada minit ke-39 sebelum bintang sensasi Christiano Ronaldo menambah gol beberapa minit sebelum tamat perlawanan.

Kemenangan itu meletakkan Portugal di tangga kedua kumpulan B, di belakang Ukraine yang seri 2-2 dengan Serbia.

Portugal menjadi negara ke-17 daripada 24 pasukan layak meneruskan saingan yang akan melakukan sepak mula di Rom pada 12 Jun dan menyertai pasukan lain seperti juara dunia, Perancis, Sepanyol, Itali dan England.

Jurulatih Portugal, Fernando Santos berkata walaupun pasukannya mencatat kemenangan, namun persembahan yang ditunjukkan anak buahnya masih belum cukup baik.

“Apa pun saya gembira dengan pemain saya kerana kempen kelayakan menjadi lebih sukar daripada apa yang kami jangkakan.

“Kami mara ke pusingan akhir kejohanan utama untuk kali ke-11 berturut-turut. Anda perlu percayakan pemain ini,” katanya.

Sementara itu, Ronaldo yang menjaringkan gol antarabangsa ke-99 dalam perlawanan tersebut berazam memecahkan rekod pemain kebangsaan Iran, Ali Daei.

Ali memegang rekod dunia dengan 109 gol antarabangsa dijaringkan dalam 149 penampilan antara 1993 dan 2006.