Rasuah turut berleluasa di sektor swasta, kata Rafidah

KUALA LUMPUR: Semua pihak perlu berhenti menuding jari kepada kerajaan apabila melibatkan rasuah kerana amalan buruk itu turut berleluasa dalam sektor swasta, kata bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri, Rafidah Aziz.

“Jangan menuding jari hanya kepada kerajaan, lihatlah kepada transaksi sektor awam.

“…banyak projek infrastruktur, malah banyak transaksi sebenar direalisasikan dalam masyarakat telah dilaksanakan oleh sektor swasta,” katanya semasa sesi khas di Konvensyen Tadbir Urus Majlis Pelabur Institusi Malaysia-Perbadanan Pembangunan Industri Sekutiri 2019 hari ini.

Beliau berkata amalan rasuah dalam sektor swasta tidak begitu difahami dan diambil peduli, justeru, ini memberi kesan terhadap penarafan rasuah.

Malaysia berada di tangga ke-61 daripada 180 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah 2018 yang dikeluarkan Transparency International berbanding ke-62 pada tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, Malaysia mencatatkan skor yang sama dalam indeks rasuah itu seperti angka yang direkodkan pada 2017 iaitu 47.

Rafidah berkata Malaysia seharusnya mengamalkan dasar sifar toleransi terhadap rasuah untuk menangani isu terbabit.

Berkongsi pengalamannya, beliau mendedahkan terdapat beberapa pihak yang “bertoleransi” terhadap tahap rasuah tertentu.

“Bagaimanakah anda boleh bercakap mengenai tahap rasuah tertentu. Apakah kedudukan anda…RM3 bilion untuk kapal selam Scorpene atau apa saja, atau RM3 untuk polis di jalanan.

“Kita sepatutnya bercakap mengenai sifar toleransi terhadap rasuah,” katanya.