Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

Seiring dengan mata wang Asia lain, ringgit dijangka akan memerhati rapat perkembangan yuan China yang mempunyai kadar pendedahan tinggi kepada dolar AS.

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS hari ini berikutan permintaan rendah terhadap mata wang AS dan keyakinan terhadap rundingan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China, kata para peniaga.

Pada 9.05 pagi, ringgit naik kepada 4.1490/1540 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.1515/1545 pada Jumaat minggu lepas.

Pakar strategi pasaran Axi Trader Asia-Pacific Stephen Innes berkata, ringgit, seiring dengan mata wang Asia lain akan memerhati dengan rapat perkembangan yuan China yang mempunyai kadar pendedahan tinggi kepada dolar AS susulan pertelingkahan perdagangan yang berlarutan antara kedua-dua ekonomi besar dunia itu.

Menurut laporan, China sedang mempelbagaikan rizabnya untuk mengurangkan pergantungannya kepada mata wang rizab terbesar dunia itu dan akan menguruskan risikonya dengan mempelbagaikan rizab pertukaran asing kepada mata wang lain, termasuk yen Jepun, pound Britain dan euro.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan turun sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.0487/0528 daripada paras penutup 3.0468/0501 pada Jumaat minggu lepas tetapi naik berbanding yen kepada 3.8127/8184 daripada 3.8186/8217.

Ringgit turun berbanding pound Britain kepada 5.3593/3661 daripada 5.3430/3473 dan susut berbanding euro kepada 4.5871/5931 daripada 4.5725/5762.