Yayasan Akal Budi dilarang bayar dividen, kata saksi

Bekas timbalan perdana menteri Zahid Hamidi tersenyum pada para penyokong apabila keluar dari mahkamah hari ini.

KUALA LUMPUR: Saksi pertama bagi kes perbicaraan bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi, yang berdepan 47 pertuduhan melibatkan jutaan ringgit dana Yayasan Akal Budi, memaklumkan yayasan itu ditubuhkan bagi tujuan khairat.

Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Pinny Asnan, 39 berkata, penubuhan Yayasan Budi, sebelum namanya ditukar sebagai Yayasan Akal Budi, ditandatangani pengasasnya Zahid dan Zulkifli Senteri pada 7 Mac 1997.

“Syarat tersebut terkandung dalam lesen yayasan berkenaan bawah Seksyen 24(1) Akta Syarikat. Yayasan tersebut hendaklah menggunakan semua keuntungannya dan lain-lain pendapatannya untuk menganjurkan tujuan khairat.

“Yayasan tersebut dilarang oleh perlembagaannya dari membayar apa-apa dividen kepada ahli-ahlinya,” kata Pinny di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah hari ini.

Pinny turut memberitahu, berdasarkan Memorandum and Articles of Association Yayasan Akal Budi, objektif penubuhan yayasan itu adalah menerima dan mentadbir dana untuk membasmi kemiskinan, dan perkara berkaitan program pembasmian kemiskinan.

Keterangan Pinny berkaitan “khairat” itu menarik perhatian pasukan pembelaan dan memintanya menjelaskan apakah fahamannya mengenai perkataan “khairat”.

Pinny, yang mulakan perkhidmatannya di Unit Siasatan SSM berkata, tidak bersetuju dengan cadangan peguam bela, Ahmad Zaidi Zainal bahawa perkataan khairat merangkumi amal jariah, wakaf, sedekah dan apa-apa sahaja yang bertujuan untuk kebajikan dan kebaikan.

“Saya hanya setuju perkara-perkara bermotifkan kebajikan,” katanya.

Pinny turut menegaskan sesebuah yayasan tidak boleh memperoleh semula sesuatu pulangan selepas menyalurkannya pada pihak tertentu, memandangkan tujuan penubuhan yayasan adalah untuk tujuan kebajikan.

Ahmad Zaidi: “Kalau mana-mana syarikat memberikan satu jaminan atau sekuriti, contohnya kalau yayasan beri sesuatu kepada syarikat dan syarikat itu akan beri sesuatu pulangan kepada yayasan, adakah ia termasuk dalam sekuriti?”

Pinny: “Tidak.”

Ahmad Zaidi: “Apakah maksudnya?”

Pinny: “Sesebuah yayasan tidak boleh dapat pulangan semula. Inilah konsep yayasan.”

Ahmad Zaidi: “Maksudnya, kalau yayasan berikan sesuatu, dia tidak boleh terima balik dalam apa-apa bentuk sekalipun. Begitu fahaman puan?”

Pinny: “Ya.”

Sebelum ini, Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran berkata, wujud kesalahan pecah amanah yang mana tidak ada satu sen pun daripada RM31 juta digunakan untuk manfaat golongan miskin.

Raja Rozela menjelaskan, jejakan wang mendapati sejumlah wang besar digunakan antaranya untuk membayar kad kredit milik peribadi, bil dan untuk tujuan membeli insuran kenderaan dan cukai jalan milik kenderaan peribadi.

Pada 19 Okt dan 14 Dis 2018, serta 20 Februari tahun ini, Zahid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seysen di sini terhadap 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akal Budi.

Zahid juga berdepan 40 pertuduhan menerima rasuah daripada sebuah syarikat berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN), menjadikan tuduhan yang dihadapinya sebanyak 87 pertuduhan.

Keesokannya, Zahid didakwa dengan 33 lagi pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM42.76 juta daripada sebuah syarikat berhubung sistem sama di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Perbicaraan membabitkan kes berkenaan akan bersambung pada esok.