20,000 pelajar di Wilayah Persekutuan terima bantuan persekolahan 2020

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad (tengah pegang mock up cek) bersama dengan guru-guru besar sekolah rendah sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Berita gembira bagi golongan B40 di Wilayah Persekutuan!

Mana-mana pelajar sekolah rendah daripada keluarga B40 di Wilayah Persekutuan layak menerima bantuan daripada Yayasan Wilayah Persekutuan.

Dan sehingga kini 20,000 pelajar di Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya telah dikenal pasti layak mendapat bantuan persekolahan untuk tahun depan.

Pelajar ini terdiri daripada Sekolah Rendah Kebangsaan, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil serta Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas di Wilayah Persekutuan.

Khalid Samad memaklumkan 20,000 pelajar daripada keluarga B40 menerima bantuan persekolahan RM120 untuk tahun depan.

Penyerahan baucar itu disampaikan Menteri Wilayah Persekutuan yang juga pengerusi Yayasan Wilayah Persekutuan, Khalid Samad dalam Program Riang Ria Kembali ke Sekolah.

Baucar bantuan persekolahan sebanyak RM120 ini merangkumi 3 pasang pakaian sekolah, 2 pasang stokin dan sehelai baju putih sukan.

Mereka yang menerima bantuan ini boleh menebusnya di pusat penebusan terpilih iaitu di mana-mana cawangan Starvillion bermula 28 November hingga 31 Januari ini.

“Mereka dikenal pasti berdasarkan data-data daripada sekolah itu sendiri so ada yang kita bagi direct kepada sekolah-sekolah kerana itu akan bagi maklumat yang lebih tepat.

“Kita ada bagi juga peruntukan untuk ahli parlimen tapi tak banyak dan kita ada bagi juga kepada agensi-agensi seperti DBKL, Perbadanan Putrajaya dan mereka akan beri kepada kakitangan mereka atau golongan yang mereka kenalpasti di kalangan B40,” katanya kepada media.

Tambahnya untuk program Riang Ria Kembali Ke Sekolah ini sahaja Yayasan Wilayah Persekutuan membelanjakan RM2.5 juta dan ia bukti keperihatinan dan sentiasa ambil berat membantu golongan B40.

Untuk rekod tahun ini bantuan yang diperuntukkan untuk Pendidikan sebanyak RM7.6 juta kepada mereka yang memerlukan tanpa mengira kaum, bangsa dan agama.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]