OKU jangan rasa tersisih, ada platform khas mohon pekerjaan

Kerjasama Make It Right Movement (MIRM) dengan Grab dalam meningkatkan taraf Orang Kurang Upaya (OKU).

Hidup pada zaman serba moden ini tidak boleh terlalu memilih atau “demand” pada sesuatu perkara termasuklah bidang pekerjaan.

Ini kerana ramai yang menganggur berikutan syarikat tidak berada dalam kedudukan yang stabil dan akhirnya menjejaskan ramai kakitangan sehingga tiada peluang pekerjaan.

Menurut Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), seramai 34,000 kini sudah diberhentikan kerja pelbagai sektor dan apabila angka tersebut mencecah 40,000, negara akan diisytihar “darurat ekonomi”.

Jika ini yang terjadi kepada masyarakat, dimana nasib Orang Kurang Upaya (OKU) yang sering “dianaktirikan” kebanyakan syarikat kerana menginginkan kakitangan sihat tubuh badan atau normal?

Pekerja OKU yang bekerja di MIRM.

Bagi golongan ini, anda tidak perlu risau kerana terdapat sebuah platform yang boleh digunakan untuk mencari peluang pekerjaan yang baik untuk anda.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Make It Right Movement (MIRM), Brian Lariche platform ini sudah disediakan sejak 2013 dengan menerima permohonan kerja daripada OKU dalam bentuk resume.

Jelasnya, MIRM juga bertindak sebagai perantaraan di antara golongan OKU dengan mana-mana syarikat yang menerima pengambilan mereka sebagai kakitangan.

Seramai lapan orang mengendalikan operasi syarikat MIRM.

“Kita menerima permohonan resume golongan OKU untuk diberi kepada mana-mana syarikat yang berminat untuk mengambil mereka sebagai pekerja.

“Jangan fikir mereka tiada tempat dan kurang bernasib baik dalam alam pekerjaan kerana mereka masih lagi mempunyai ‘perlindungan’ yang sewajarnya,” katanya kepada FMT.

Ketua Pegawai Eksekutif MIRM, Brian Lariche.

Selain itu Brian turut berkata MIRM boleh memberi nasihat dan panduan kepada mana-mana syarikat bagaimana cara untuk mengendalikan golongan ini supaya boleh bekerja dengan baik.

“Dalam hal ini, kita boleh mengajar, dan menyediakan pekerja golongan OKU kepada syarikat tersebut, ia tidak menjadi masalah.

“Yang menjadi masalah sebenar kepada mereka dalam bidang pekerjaan ini adalah kes buli. Jadi kita berharap agar syarikat terbabit bersabar dengan memberi latihan yang sebaiknya kepada mereka,” katanya.

MIRM merupakan sebuah syarikat yang memainkan peranan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) untuk membantu golongan tertentu dalam menaikkan taraf kualiti hidup.

Golongan OKU boleh menghantar resume di laman web ini.

Setakat ini Brian berkata yang pihaknya sudah menerima 500 resume OKU sebagai permohonan bekerja di mana-mana syarikat yang bersedia untuk menerima perkhidmatan mereka.

Bagi menyokong keadaan itu, beliau turut berkata yang MIRM mengambil lapan orang pekerja OKU bagi mengendalikan kerja-kerja operasi di syarikat tersebut.

“Paling lama mereka bekerja di sini adalah empat tahun, setelah mereka diberi latihan dengan baik, mereka mampu memenuhi apa yang kita inginkan dan setiap gaji mereka yang kita berikan mempunyai potongan EPF dan SOCSO.

Rachel Siew berkhidmat selama tiga tahun di MIRM dan menjadi duta Grab.

“Kita tak ambil kesempatan terhadap mereka,” ujarnya lagi.

Salah seorang daripadanya, Rachel Siew berkata beliau telah berkhidmat selama tiga tahun di MIRM dan dilantik sebagai duta kepada perkhidmatan e-hailing iaitu Grab pada 2016.

Keputusan mereka ini sekaligus menaikkan taraf golongan OKU ke tahap yang lebih tinggi dimana mereka juga berhak untuk mendapatkan kehidupan yang sama dengan orang biasa.

Sebagai panduan kepada golongan OKU, anda boleh menghantar resume ke pautan specialjobs.com.my untuk memohon peluang pekerjaan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]