Ahli Parlimen BN gesa pecat pegawai, rombak CAAM selepas diturunkan taraf

Ahmad Maslan berkata, penurunan taraf oleh FAA memalukan negara dan langkah segera perlu diambil untuk kembali kepada Kategori 1.

KUALA LUMPUR: Seorang wakil rakyat pembangkang mencadangkan pihak yang menyebabkan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat (AS) menurunkan taraf keselamatan udara Malaysia ditukarkan atau meletak jawatan.

Ahmad Maslan (BN-Pontian) turut menggesa kerajaan merombak Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) kerana penurunan taraf itu memalukan negara dan langkah segera perlu diambil untuk mengembalikan ia ke Kategori 1.

“Apa tindakan pemantauannya? Kok Soo Chon dilantik mengetuai jawatankuasa khas, setakat mana beliau dan jawatankuasa boleh mengembalikannya kepada Kategori 1 dalam masa 2 bulan?

“Kalau kita lihat di Thailand yang diturunkan kepada Kategori 2 pada Disember 2015, sampai sekarang masih Kategori 2, ia sudah tentu akan menjejaskan banyak pihak.

“Siapa yang bertanggungjawab dalam hal ini letak jawatan atau tukar ke jawatan lain, jangan dibiar bebas (kerana) ia memburukkan nama negara.

“Di negara lain, menteri pengangkutan atau timbalan akan ambil tindakan tertentu, tetapi di Malaysia, kita faham mereka tidak akan letak jawatan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini ketika membahas Rang Undang-undang Perbekalan 2020 di peringkat jawatankuasa Kementerian Pengangkutan.

Pada 11 November lalu, CAAM mengumumkan FAA menyenaraikannya sebagai pengawal selia penerbangan Kategori 2 susulan kajian semula ke atasnya pada April lalu,

CAAM menjelaskan pengkategorian itu hanya merangkumi peranannya sebagai pengawal selia dan bukan penilaian syarikat penerbangan, lapangan terbang atau perkhidmatan trafik udara di bawah naungannya.

CAAM turut dilaporkan berkata, ia yakin dapat disenaraikan semula dalam Kategori 1 FAA bagi keselamatan udara dalam tempoh 12 hingga 24 bulan.

Hari ini, Ahmad Maslan berkata, FAA tidak pernah menurunkan taraf keselamatan penerbangan Malaysia sepanjang zaman pemerintahan BN.

“Setakat saya tahu, tak pernah turun ke Kategori 2. Rejim PH baru setahun 6 bulan sudah turun ke Kategori 2.

“Perkara ini memberikan taraf Malaysia seperti Bangladesh, Ghana, Costa Rica,” katanya sambil menambah pengauditan sepatutnya dilakukan lebih awal apabila mengetahui FAA akan membuat penilaian.

Buktikan kadar kemalangan turun kerana kamera AES

Sementara itu, Ahmad Maslan meminta menteri pengangkutan menunjukkan bukti kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang kini dikenali sebagai kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas) dapat mengurangkan kadar kemalangan.

“Dulu ada pihak sampai ke tahap berguling-guling bantah AES, sekarang sudah jadi timbalan menteri, tapi masih tambah (AES).”

Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer kemudiannya mencelah dengan membangkitkan isu 1MDB di Dewan Rakyat.

“Kamu (Jelutong) boleh kalau tidak berdiri menyibuk,” kata Ahmad Maslan.

“1MDB dalam perbicaraan mahkamah…kita tunggu (selesai perbicaraan), selepas itu baru kita buat kesimpulan.”

Rayer sekali lagi bangkit mencelah dengan mendakwa Ahmad Maslan bersubahat dengan Ahli Parlimen Pekan, Najib Razak dalam isu 1MDB.

“Subahat kepala otak hang,” kata Ahmad Maslan yang enggan melayan Rayer.

“Cakaplah, tak beri kesan pun, lagi banyak (Jelutong) cakap, lagi banyak kalah.”

Speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof meminta Rayer tidak mengganggu ucapan Ahmad Maslan.